Siakap Keli

Kisah Ibu Hamil Guna Produk Kosmetik Mungkin Ada Merkuri Hingga Ganggu Bayi Dalam Kandungan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak boleh dinafikan bahawa produk kosmetik merupakan ‘sahabat’ bagi para wanita. Ianya dihadirkan dalam pelbagai bentuk untuk pelbagai kegunaan antaranya krim pemutih, pelembap, pencuci muka dan banyak lagi.

Malah, penggunaan merkuri larangan di dalam bahan kosmetik itu mampu mengancam kesihatan termasuk meningkatkan risiko kepada diri pengguna dan ada juga sesetengah produk kosmetik mengandungi merkuri yang mengganggu perkembangan sistem saraf bayi dalam kandungan dan ibu.

Jadi, perkongsian kali ini dikongsikan oleh seorang ahli perubatan tentang pengalaman pesakitnya menggunakan kosmetik larangan tersebut mengakibatkan masalah berlaku kepada kandungannya dan bayi yang telah lahir.

Kisah Ramadhan.

Di bilik ultrasound, menjadi norma untuk saya tanya pesakit, kandungan sekarang merupakan kandungan yang ke berapa.

Pesakit kami lewat petang semalam, datang untuk cek kandungannya yang keenam. Usia kandungannya 19 minggu. Sepanjang proses ultrasound, pesakit kerap kali bertanya, “anak saya ok? Baby ok tak? Ada masalah?”

“Sebelum ni pernah ada masalah ke kandungan puan?,” soal saya.

Gambar sekadar hiasan

“Anak saya semuanya lahir premature. Yang keempat pula meninggal dalam perut masa 24 minggu.”

“Oh, doktor cakap tak kenapa semua baby puan lahir premature? Puan kerja bahagian kimia ke?” Kebiasaanya masalah dengan baby boleh jadi sebab ibu terdedah banyak dengan bahan kimia berbahaya.

“Saya kerja kerani. Pembantu tadbir.” Jawabnya.

Pesakit sambung, “Saya dulu jahil. Orang dah cakap jangan, jangan. Tapi saya ambil juga produk yang ada merkuri tu. Doktor-doktor pakar kat hospital besar cakap, boleh jadi sebab ambil produk ada merkuri sebelum ni. Tu yang bagi efek pada baby.”

 

Gambar Sekadar Hiasan

Saya harap masyarakat kita tidak lagi terpedaya dengan produk-produk timbang kilo yang menjanjikan kesan yang luar biasa. Tak mengapalah kulit muka tak cantik. Janganlah dirisikokan kesihatan diri sendiri. Masalahnya, bukan saja diri sendiri yang terpaksa menanggung risiko, anak dalam kandungan juga terkena tempiasnya.

Susah juga kita nak sekat penjual-penjual yang menangguk di air keruh. Pendidikan yang perlu kita beri pada masyarakat kita; terutama orang yang dekat dengan kita.

Ya, semua orang nak cantik. Tapi, tidak pernah ada jalan pintas untuk jadi cantik. Pilihlah jalan yang selamat. Biar lambat, asal selamat.

Semoga menjadi pengajaran untuk kita semua.

Sumber: Nurul Husna Kamarudin

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang