Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Lelaki 55 Tahun Dibaham Buaya Ketika Memancing, Penduduk Dipercayai Sepakat Tangkap Dan Belah Perut Buaya

Penduduk di sebuah perkampungan yang terletak di Indonesia nekad membelah badan seekor buaya untuk mengeluarkan mayat salah seorang penduduk kampung yang didakwa telah dimakan oleh buaya tersebut ketika sedang memancing.

Buaya berukuran sekitar 13 kaki itu dilaporkan menerkam lelaki tersebut di Sungai Lakar pada Ahad malam dan ‘meratahnya’ sementara rakan mangsa hanya mampu menjerit meminta tolong.

Sejak dari itu, sepasukan penyelamat telah memulakan pencarian untuk mencari lelaki berusia 55 tahun itu dan berjaya menemui kakinya yang terputus pada keesokan harinya sebelum berjaya menangkap buaya tersebut.

Selepas menembak mati buaya itu, mereka mula memotong badan reptilia tersebut dan berjaya menemui saki baki anggota tubuh lelaki yang telah menjadi santapan buaya ini.

Penduduk kampung Teluk Lanus yang gempar berkenaan serangan buaya tersebut bertindak berganding bahu untuk memerangkap reptilia itu sejurus selepas melaporkan kepada pihak polis mengenai insiden berkenaan.

Rakan mangsa yang turut memancing bersama mangsa menyelamatkan diri dengan berjaya memanjat tebing berdekatan ketika kejadian sebelum terpaksa menyaksikan rakannya itu menjadi santapan reptilia tersebut.

Susulan daripada kejadian itu, penduduk kampung dilaporkan telah berjaya menjerat buaya tersebut pada Isnin pagi dan mengheretnya beramai-ramai untuk membelah perutnya.

 

 

Heru Sutmantoro, ketua Badan Pemuliharaan Sumber Asli daerah Riau, menyatakan bahawa kematian lelaki tersebut adalah satu tragedi.

Walau bagaimanapun, dia turut mengkritik tindakan penduduk kampung berkenaan kerana membunuh haiwan yang diwartakan sebagai haiwan yang dilindungi.

Heru menyatakan bahawa penduduk tempatan telah diberi amaran pada Jun 2019 untuk tidak memancing di kawasan paya yang dipenuhi dengan buaya itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa mengetahui berkenaan amaran tersebut atau tidak.

“Kami menerima maklumat bahawa serangan itu berlaku pada Ahad malam,” kata Heru.

“Kami telah lama memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mendekati habitat buaya air masin itu serta lebih berhati-hati terhadap kawasan tersebut.

“Ini bukanlah serangan pertama, serangan serupa di Sungai Lakar ini juga pernah dilaporkan terjadi sebelum ini.

“Mangsa mungkin tidak tahu bahawa kawasan itu merupakan habitat buaya air masin.”

Heru berkata bahawa pegawai hidupan liar tidak berdaya untuk menghalang tindakan penduduk kampung yang mahu membunuh buaya tersebut, namun dia berjanji untuk meningkatkan rondaan di kawasan habitat buaya itu.

“Buaya air masin adalah antara binatang liar yang dilindungi oleh undang-undang. Ianya termaktub di bawah bidang kuasa polis serta penguatkuasa undang-undang Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan,” tambahnya.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa