Siakap Keli
Menteri Besar Perak - Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu - Bernama

Perak Kini Bebas Kes Aktif Covid-19, Semua 247 Pesakit Telah Sembuh – MB Perak

Ipoh: Perak kini merupakan negeri bebas daripada kes aktif COVID-19 selepas dua pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, telah sembuh dan dibenarkan keluar semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini menjadikan kesemua 247 pesakit positif COVID-19 yang direkodkan di negeri ini telah pulih daripada wabak berkenaan.

”Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming, hari ini. Maka, hospital-hospital seluruh negeri Perak adalah sifar pesakit COVID-19, Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir pada majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan untuk petugas barisan hadapan antaranya peralatan perlindungan diri (PPE) daripada syarikat My Vista dan Syarikat Kangsor Hydro yang diserahkan kepada Dr Ding.

Ahmad Faizal turut menerima sumbangan berjumlah lebih RM600,000 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Syarikat Renesas International bersama-sama Syarikat Carsem (M) Sdn Bhd, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Syarikat Kangsor Hydro untuk Tabung Bencana COVID-19 Negeri Perak selain sumbangan pek makanan kering bersempena Ramadan oleh Syarikat Headlines International Sdn Bhd.

Menteri Besar berkata bagaimanapun, perkara itu  tidak bermakna rakyat Perak boleh terus berasa selesa dengan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu untuk tidak bersalaman, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri.

“Saya menyarankan pada semua rakyat jangan fikir PKP telahpun tamat, PKP masih ada …tetap amalkan jarak sosial. Saya fikir itu satu budaya baharu yang kita perlu amalkan selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Ding berkata sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 253 kes positif COVID-19 dan enam kematian direkodkan di Perak.

“Bagaimanapun, kesemua 247 kes positif COVID-19 (253 kes positif tolak enam kematian) telah pulih dan dibenarkan pulang dengan dua pesakit terakhir di HRPB dibenarkan pulang petang semalam,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui laman sosial media Facebook rasminya semalam melaporkan Perak masih kekal dengan dua kawasan zon merah iaitu Durian Sebatang di daerah Hilir Perak dan Ipoh di daerah Kinta.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.