Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Polis Rekod Keterangan Wak Doyok

JOHOR BAHRU, 30 April — Polis merekodkan keterangan personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok, hari ini bagi membantu siasatan berhubung tempahan sebentuk cincin menggunakan ukiran lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay,berkata Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 41, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sejak 11 pagi tadi bagi memberikan keterangan.

“Wak Doyok dipanggil memberi keterangan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor, dua hari lepas (Selasa) di IPD Iskandar Puteri.

“Kes ini sebenarnya sudah lama, dia (Wak Doyok) membeli cincin pada tahun 2018 secara dalam talian dari sebuah syarikat di Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 dan kertas siasatan kes itu akan disiapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan.

Justeru, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak sewenang-senangnya menyalahgunakan lambang peribadi Sultan Johor kerana ia adalah satu kesalahan.

“Tidak ada mana-mana individu boleh menggunakan, menempah, menghasilkan, menyalahgunakan lambang, gelaran dan anugerah yang dikurniakan Sultan Johor kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Sultan Johor,” katanya.

Semalam, Wak Doyok dilaporkan sudah memohon maaf kepada keluarga Diraja Johor selepas ditegur Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim apabila dia menempah sebentuk cincin menggunakan ukiran lambang peribadi Sultan Johor.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan, berkata pihaknya kini sedang menahan reman seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger selama lima hari bagi membantu siasatan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Beliau berkata berkata Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 31, ditahan di rumahnya di Muar, kelmarin.

“Hasil siasatan mendapati Long Tiger mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.

“Dia turut didapati mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng dan polis sedang membuat siasatan lanjut mengenainya,” katanya.

Menurut Ayob Khan, Long Tiger didapati bukan warganegara Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Semalam, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahanannya tular di media sosial.

Sebelum itu, menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook sebelum ini.

Dalam masa sama, pihaknya turut menahan seorang koperal polis yang bertugas di IPD Muar, semalam, bagi membantu siasatan selepas dipercayai menyebarkan video penahanan Long Tiger.

Anggota polis berumur 37 tahun itu disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, katanya

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd