Siakap Keli

Sistem Permohonan Geran Khas Prihatin Mula Dibuka Esok

KUALA LUMPUR, 30 April — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan sistem permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) akan dibuka kepada orang awam esok mulai jam 9 pagi.

Sehubungan itu, LHDN dalam kenyataan berkata Hasil Care Line (HCL) yang mengendalikan talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara) akan beroperasi seperti biasa esok dan Sabtu (2 Mei) dari 9 pagi hingga 4.30 petang bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan GKP.

Menurut kenyataan itu, orang ramai juga boleh mengajukan pertanyaan tentang GKP melalui medium LHDN yang lain termasuk HASiL Live Chat, borang maklum balas di pautan pantas (https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/) dan laman media sosial rasmi LHDN iaitu Facebook ( https://www.facebook.com/LHDNM) dan Twitter (https://twitter.com/LHDNMofficial).

Selain itu, orang ramai  boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau klik pada pautan Soalan Lazim (FAQ) GKP di http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/FAQ_GKP_1.pdf.

GKP yang diwujudkan oleh kerajaan adalah satu inisiatif bagi membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dalam aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geran Khas RM3,000 disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin PKS) kepada setiap syarikat PKS mikro yang layak dan dijangka akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

— BERNAMA

Nur Farra