Siakap Keli

Isteri Dalam Pantang Dan Suami Positif Syabu, Lima Anak Duduk Dalam Rumah Penuh Sampah-Sarap

Berat mata memandang, berat bahu yang memikul. Begitulah nasib lima beradik yang dibesarkan oleh ibu bapa penagih dadah dan tinggal di dalam rumah yang kotor dan dipenuhi sampah sarap.

Menerusi pendedahan Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid, beliau berkongsi pengalamannya menyertai lawatan di dua buah rumah bersama AADK di kawasan Padang Hang, Alor Setar.

Apa yang mengejutkan, lawatan ke rumah sepasang suami dan isteri yang masih berada dalam pantang mendapati kedua-duanya positif syabu.

Manakala lima anak mereka hidup dalam keadaan terabai di dalam rumah yang tidak dapat digambarkan keadaannya.

Pada 29 April 2020 bersamaan 6 Ramadan 1441H, iaitu hari ke-43 PKP, dengan kebenaran pergerakan daripada pihak PDRM, satu lawatan telah diadakan ke dua buah rumah di kawasan Padang Hang.

Lawatan bersepadu ini disertai oleh Pegawai-pegawai AADK Daerah Kota Setar, Ketua-ketua Balai Polis Anak Bukit dan Alor Janggus, Pelindung Kanak-kanak dan Kaunselor JKM Daerah Kota Setar dan saya sendiri mewakili Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar.

Anak bongsu baru berumur seminggu

Dalam lawatan ini didapati satu pasangan suami isteri terlibat dengan dadah. Anak mereka 5 orang, dua orang tiada surat beranak, anak kedua berumur 7 tahun tidak pernah bersekolah. Anak bongsu berumur baru seminggu.

Bapa mereka dan adiknya didapati positif methamphetamine dan kedua-duanya telah dibawa ke pejabat AADK.

Isterinya berpantang di rumah keluarganya yang berdekatan bersama 4 anak yang lain. Hanya seorang anak tinggal bersama bapanya ketika ini.

Si isteri mengaku mengambil syabu kali terakhir kelmarin, tetapi disebabkan masih berpantang dan menyusu, AADK akan memantaunya sehingga habis tempoh berpantang.

Tak dapat bayang keluarga hidup dalam rumah begini

Semua anak mereka diletakkan di bawah jagaan datuk mereka terlebih dahulu kerana keadaan rumah di situ lebih selamat.

Pihak Pelindung kanak-kanak JKM akan terus memantau kanak-kanak ini, dan perkara-perkara berkaitan pendaftaran dan persekolahan akan diselesaikan selepas tamat tempoh PKP.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sebuah keluarga bersama 5 orang anak kecil boleh hidup dalam rumah sebegitu rupa.

Ini bukan masalah kemiskinan semata-semata tetapi disebabkan kegagalan ibu bapa berfungsi akibat pengaruh dadah. Dadah akan melenyapkan fungsi sosial seseorang manusia yang waras.

Masyarakat perlu peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada kes sebegini demi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa pengabaian.

Sumber: Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.