Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Imbasan CT Perlihat Paru-Paru Dipenuhi Cacing Lepas Pesakit Dipercayai Jamah Makanan Laut Mentah

Seorang penggemar makanan eksotik dari China yang pernah menjamah pundi hempedu ular terkejut apabila mendapati bahawa paru-parunya dipenuhi dengan cacing, lapor Daily Mail.

Menurut doktor, jangkitan tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan oleh memakan makanan mentah atau minum air yang tidak bersih.

Terdapat satu video yang memaparkan seorang doktor menunjukkan jangkitan serius pada paru-paru lelaki berkenaan menerusi imbasan CT.

Lelaki warga China itu difahamkan telah pergi ke sebuah hospital di Suqian, wilayah Jiangsu, baru-baru ini setelah mengalami kesukaran bernafas sejak beberapa bulan lalu.

Apabila doktor bertanyakan tentang cara pemakanannya, lelaki tersebut menyatakan bahawa dia sangat menggemari makanan laut, antaranya ialah udang karang dan siput sungai.

Selain dari itu, dia juga turut mengaku bahawa dia pernah menjamah pundi hempedu ular mentah sebelum ini.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki tersebut mendapati bahawa dia telah didiagnos dengan paragonimiasis, sebuah bentuk jangkitan parasit makanan pada paru-parunya.

Menurut Dr Zhao Haiyan, penyakit ini berpunca daripada pengambilan makanan laut mentah yang mengandungi telur cacing pita atau minum air yang tidak bersih.

Selepas wabak pandemik Covid-19 yang telah menjangkiti lebih dari tiga juta orang di seluruh dunia tercetus, dunia mula memandang serius ke atas industri makanan eksotik di China.

Walaupun para saintis masih lagi berusaha mengkaji beberapa aspek berkenaan virus itu, namun dunia mula percaya bahawa virus tersebut memang berasal daripada pasar makanan laut Wuhan di mana haiwan liar turut dijual sebagai makanan.

Dr Zhong Nanshan, seorang ahli epidemiologi terkemuka di China, mendakwa bahawa wabak itu mungkin ada kaitan dengan tikus buluh.

Ada juga pakar yang lain mendakwa bahawa kelawar, ular atau tenggiling turut berkemungkinan menjadi puncanya.

Pada Februari, jawatankuasa perundangan China telah melarang semua perdagangan dan penggunaan haiwan liar susulan daripada krisis kesihatan yang sedang melanda dunia kini.

Majlis perbandaran Beijing pada minggu lalu telah meluluskan undang-undang yang akan menghukum mereka yang memburu, berdagang dan memakan haiwan liar di seluruh bandar tersebut. Dua bandar lain di China juga turut meluluskan undang-undang yang melarang penduduknya daripada memakan daging haiwan peliharaan.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa