Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Wanita Rugi RM84,950 Kerana Mahu ‘Tuntut’ Beg Berjenama Dari AS

Kuantan: Seorang penolong pengurus membuat laporan polis mendakwa ditipu seorang lelaki berhubung tuntutan kiriman kononnya berisi beg berjenama dari Amerika Syarikat (AS) melibatkan kerugian RM84,950.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazri Mohd Yusof berkata wanita berusia 42 tahun itu mendakwa mengetahui tentang kiriman berkenaan selepas dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai petugas di syarikat penghantaran, Isnin lalu.

“Suspek memberitahu bungkusan itu dialamatkan ke tempat kerja mangsa dan disebabkan kandungannya merupakan barangan berjenama, mangsa perlu menjelaskan cukai sebanyak RM9,150 sebelum dapat menuntut beg tersebut. 

“Mangsa yang pada awalnya ragu-ragu dengan kiriman itu, akhirnya terpedaya apabila ditakutkan oleh suspek yang mengugut akan membuat laporan polis atas dakwaan mangsa menerima barangan lari cukai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang bimbang kerana telah menyerahkan salinan dokumen peribadinya kepada lelaki berkenaan atas urusan tuntutan bungkusan, menyebabkan dia menurut segala arahan suspek.

Bagaimanapun, mangsa menjadi berang apabila bungkusan terbabit masih belum diterima dan suspek kerap meminta wang walaupun empat transaksi bayaran berjumlah RM84,950 telah dibuat ke akaun bank yang diberikan suspek.

Atas nasihat rakan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.