JOHOR BAHRU, 1 Mei — Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor melakukan operasi sanitasi bagasi 553 penuntut dan 70 kenderaan di lima kampus institusi pengajian tinggi (IPT) semalam, menerusi Program Penghantaran Pulang Pelajar IPT.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata kesemua 70 kenderaan itu melibatkan bas, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta.
“Malam tadi, bermula pergerakan pelajar-pelajar yang terkandas di IPT untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya berhubung situasi semasa kes COVID-19 di negeri ini, menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata operasi sanitasi bagasi di lima lokasi itu adalah di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melibatkan 296 penuntut; Politeknik Mersing (30); Universiti Teknologi Mara Segamat (39); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (175); serta Politeknik Pagoh (13).
Dalam pada itu, beliau berkata JBPM Johor dengan kerjasama pelbagai agensi menjalankan Operasi Santitasi Awam di 1,428 lokasi di seluruh negeri sejak 27 Mac lepas sehingga semalam, melibatkan 568 bangunan kerajaan;134 rumah ibadat; 319 tempat awam; dan 407 lain-lain tempat.
“Bermula 29 April juga, JBPM Johor dipertanggungjawabkan melaksanakan Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh Johor,” katanya.
Sumber: BERNAMA