KUCHING, 1 Mei — Mayat seorang pembekal sayur di pasar raya ditemui dalam keadaan reput di dalam bilik air rumahnya di Jalan Song di sini, kira-kira pukul 9.05 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata maklumat diperolehi menerusi seorang pemanggil menghubungi polis memaklumkan seekor anjing mati di perkarangan sebuah rumah milik majikannya yang disewakan, namun usaha menghubungi penyewa terbabit gagal dan meminta bantuan polis untuk membuat pemeriksaan.
“Polis tiba di tempat kejadian dan memasuki rumah berkenaan serta terhidu bau busuk yang datang dari tingkat atas rumah. Polis bersama-sama pegawai perubatan serta bomba ke tingkat atas rumah dan menemui mayat seorang lelaki di bilik air rumah tersebut.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan bangkai anjing telah dihantar ke Makmal Veterinar di Muara Tuang untuk mengetahui punca kematiannya. Pihak hospital juga akan melakukan saringan COVID-19 terhadap mayat itu sebelum bedah siasat dapat dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Awang Din berkata menurut pemilik rumah, si mati telah menyewa rumah itu selama 12 tahun dan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit.
“Barangan milik peribadi si mati seperti dompet, wang tunai dan telefon bimbit didapati masih ada di tempat kejadian. Polis juga menemui beberapa bungkusan ubat milik si mati. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan masih dalam siasatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA