Siakap Keli

Singapura Mungkin Longgarkan Pemutus Rantaian Dan Mulakan Semula Ekonomi – PM Lee

SINGAPURA, 30 April — Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata selepas berjaya mengurangkan bilangan kes baharu pandemik COVID-19 negara itu boleh melonggarkan langkah sekatan pergerakan separanya atau dipanggil ‘pemutus rantaian’ dan membuka semula ekonominya dengan progresif.

“Ia bukan mudah. Kita perlu meningkatkan pengujian COVID-19 dan mempercepatkan pengesanan kontak. Dan kita perlu lakukannya dengan penuh berhati-hati agar jangkitan tidak berulang lagi,” katanya dalam Perutusan Hari Pekerja 2020 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Singapura memulakan langkah-langkah pemutus rantaian pada 7 April dan dijadualkan berakhir pada 1 Jun.

“Kita mengekalkan perkhidmatan penting untuk beroperasi. Tetapi sektor ekonomi lain perlu dibukakan secara berperingkat, bukan sekali gus. Sebahagian industri akan dibuka lebih awal daripada yang lain, dan pulih lebih cepat.

“Sebagai contoh, sektor yang penting bagi menggerakkan ekonomi domestik. Dan sektor yang menghubungkan kita kepada dunia dan kepada rantaian bekalan global,” katanya.

Lee berkata kesemua industri ini perlu kekal utuh, bersedia untuk meneruskan perniagaan apabila keadaan membenarkan, jadi “Ia memerlukan kerjasama rapat antara syarikat, pekerja dan kerajaan.”

“Kemungkinan besar, pelancongan dan penerbangan akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih berbanding sektor-sektor lain kerana perjalanan antarabangsa akan terus dihadkan selagi COVID-19 masih menjadi masalah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pandemik itu telah menjejaskan ekonomi global dengan Tabung Kewangan Antarabangsa Antarabangsa (IMF) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan kejatuhan paling teruk sejak Kemelesetan Besar yang berlaku pada era 1930.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Singapura amat terkesan dengan kegawatan ini. Perdagangan dan pelaburan, mata pencarian kita, telah terganggu. Tanpa bantuan, syarikat kukuh, besar dan kecil, akan tiada perniagaan dan ramai pekerja akan hilang pekerjaan.

“Kerajaan di seluruh dunia menyediakan peruntukan yang besar bagi menghalang ekonomi mereka daripada tumbang dan menjaga kebajikan rakyat mereka,” katanya sambil menambah kerajaan Singapura turut berbuat demikian menerusi Belanjawan ‘Perpaduan, Daya Tahan dan Solidariti’  yang kesemua sekali berjumlah S$60 bilion.

Mengenai situasi terkini COVID-19 Lee berkata: “Di Singapura, sudah hampir sebulan sejak kita melaksanakan pemutus rantaian. Jumlah kes komuniti baharu kini berkurangan kepada kira-kira 10-15 setiap hari. Kita mencatatkan kemajuan yang besar tetapi banyak lagi yang kita perlu lakukan.

Setakat 12 tengah hari ini, Singapura melaporkan 528 kes jangkitan baharu COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan 16,169 kes.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.