Siakap Keli

Gabungan Produk Pelancongan Langkawi Hadiahkan Pakej Percutian Untuk “Frontliners” Lepas Tamat PKP

Langkawi: Pengusaha hotel dan produk pelancongan di Langkawi bersetuju menawarkan pakej percutian menarik untuk petugas barisan hadapan COVID-19 di pulau peranginan itu selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Gabungan tersebut antaranya melibatkan hotel, pemandu pelancong, ejen pelancongan dan pengembaraan, pengusaha dobi dan pengusaha kapal layar yang membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam.

Jurucakap gabungan tersebut, Razmi Rahmat, berkata tawaran yang dibuka buat barisan hadapan di seluruh negara itu sebagai menghargai jasa doktor, jururawat, polis, tentera dan bomba dan sebagainya yang bergadai nyawa membendung penularan pandemik COVID-19.

“Selain penginapan percuma, petugas barisan hadapan yang bercuti ke Langkawi akan turut menikmati tawaran istimewa lain seperti tiket masuk percuma ke Langkawi SkyCab dan Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) serta menaiki kapal layar menelusuri gugusan kepulauan Langkawi ketika matahari terbenam,” katanya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar THLL, John Teoh, Ketua Pegawai Eksekutif Arisz Travel and Tours Sdn Bhd, Ahmad Phisol Ishak dan Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Tropical Charters Sdn Bhd, Siti Raudhah Shaari.

Razmi, yang juga Pengurus Besar Hotel Adya, berkata gabungan pemain industri terlibat akan mewujudkan satu laman Facebook khas memaparkan pakej yang ditawarkan kepada barisan hadapan sepanjang percutian mereka di pulau ini.

“Berkenaan penginapan percuma, kita jangka purata mereka (barisan hadapan) akan bercuti selama tiga hari dua malam, jadi ada hotel tawarkan penginapan percuma untuk satu malam dan ada juga yang beri penginapan percuma untuk dua malam,” katanya.

Beliau berkata tempahan boleh dibuat dengan mengemukakan bukti seperti kad identiti sebagai pekerja  barisan hadapan, anggota polis dan tentera perlu kemukakan kad kuasa dan selain tawaran itu turut diberikan kepada pengamal media.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)