Siakap Keli

TERKINI: Perjalanan Pulang Rentas Negeri Ikut Jadual PDRM Bermula 7 Mei Hingga 10 Mei – Ismail Sabri

Perjalanan pulang bagi mereka yang terkandas di kampung halaman atau di bandar untuk pulang ke tempat masing-masing akan bermula pada Khamis (7 Mei 2020) dan dijangka berakhir pada Ahad (10 Mei 2020).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan jadual pulang mengikut negeri kepada semua rakyat dalam masa terdekat.

”PDRM akan menyediakan jadual perjalanan bagi mereka yang akan pulang dari kampung ke bandar dan akan membuat kenyataan media untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci.

”Cuma apa yang saya boleh beritahu, iaitu ianya bermula pada hari Khamis depan (7 Mei 2020) dan dijangka berakhir pada Ahad (10 Mei 2020),” kata beliau.

Menurut beliau, PDRM telah menerima lebih daripada 500,00 permohonan bagi individu untuk pulang ke bandar dan dari bandar untuk pulang ke kampung.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada semua kakitangan kerajaan supaya tidak terburu-buru pulang pada hari ini atau esok walau pejabat akan dibuka pada Isnin.

”Tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke tempat kerja kerana Ketua Setiausaha Negara telah pun bersetuju bahawa mereka tidak perlu memulakan kerja pada hari Isnin.

”Mereka boleh balik ke tempat kerja berdasarkan hari yang akan ditetapkan oleh PDRM mengikut jadual,” kata beliau.

Selain itu, beliau turut menyeru majikan bagi syarikat swasta supaya tidak mengambil tindakan dan memberikan ruang kepada pekerja untuk memulakan kerja berdasarkan jadual yang disediakan oleh PDRM.

”Jadi janganlah mengambil tindakan kalau pekerja mula bekerja pada hari Isnin kerana permulaaan perjalanan akan bermula pada hari Khamis ini.

”Saya harap tidak ada pekerja-pekerja yang diambil tindakan oleh majikan swsat kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi ini adalah berdasarkan jadual yang disediakan oleh pihak PDRM,” kata beliau.

Kerajaan pada semalam memutuskan perjalanan rentas sempadan negeri termasuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri masih tidak dibenarkan kepada mana-mana rakyat negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan bermula 4 Mei ini.

Sumber: Sidang Media Perkembangan Terkini PKP

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.