Siakap Keli

Peniaga Dijangkiti Covid-19, Pasar Besar Seremban Ditutup Bermula Hari Ini

Seremban: Pasar Besar Seremban ditutup bermula hari ini berikutan terdapat kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan peniaga pasar berkenaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Zazali Salehudin berkata penutupan untuk sekurang-kurangnya tiga hari itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS), selepas menerima maklumat bahawa terdapat peniaga dijangkiti COVID-19, petang semalam.

Katanya, tindakan pantas ini dilakukan bagi membolehkan pihaknya melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi di sekitar pasar dan kawasan berhampiran dengannya sekali gus mengelakkan penularan wabak.

“Setakat ini maklumat yang tidak rasmi saya terima, dua peniaga dijangkiti COVID-19, walaupun tidak ada lagi pengumuman rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai kes di sini, tetapi kita ambil langkah proaktif sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan melihat proses sanitasi di Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya bergantung kepada nasihat JKNNS bagi menentukan tempoh penutupan yang sewajarnya.

”Penutupan juga melibatkan semua kedai berhampiran pasar ini, bagi memastikan tiada jangkitan baharu,” katanya.

Bagaimanapun Zazali berkata, pihaknya akan cuba melakukan yang terbaik bagi membolehkan pasar itu kembali beroperasi seperti biasa.

“Kalau boleh kita tidak mahu susahkan masyarakat untuk mereka dapatkan bekalan makanan, kita akan buat sebaik mungkin, masyarakat harus bersabar kerana ini adalah kebaikan untuk semua pihak,” katanya.

Jumaat lepas, seramai 15 daripada 20 peniaga di Pasar Besar Seremban yang mempunyai kontak rapat dengan peniaga di Pasar Borong Selayang menjalani saringan, sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.