Siakap Keli

Kes COVID-19 Melepasi Lebih 3.5 Juta Kes Di Peringkat Global

Media melaporkan bahawa kes COVID-19 telah melepasi 3.5 juta kes di seluruh dunia pada hari ini, walaupun kadar kematian serta kes baru bergerak perlahan berbanding bulan lalu.

Negara-negara Eropah dan Amerika Utara merupakan antara negara dengan kes baru yang paling banyak dilaporkan dalam beberapa hari yang lepas. Namun, jumlah kes COVID-19 semakin meningkat dari kawasan-kawasan yang kecil di Amerika Latin, Afrika dan Rusia.

Menurut laporan lagi, terdapat 84,004 kes baru dicatatkan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam yang terakhir. Kadar harian kes baru di seluruh dunia telah berada dalam julat 2% -3% pada minggu lepas, berbanding dengan kadar pada pertengahan bulan Mac iaitu sekitar 13%. Ianya secara tidak langsung mendorong banyak negara untuk mula melonggarkan perintah ‘lockdown’.

Kelonggaran perintah membimbangkan pakar-pakar yang sedang mencari strategi terbaik bagi memastikan tiada gelombang wabak COVID-19 yang besar akan berlaku untuk kali kedua.

Para pegawai kesihatan juga telah menyatakan kerisauan mengenai peningkatan jumlah kes di negara-negara di mana kurangnya ujian dilakukan serta kekurangan kemudahan perubatan.

Sumber: TodayOnline, Reuters

Adib Mohd

Nur Farra