Siakap Keli

Aplikasi MySejahtera Bantu Orang Ramai Hadapi Penularan COVID-19

KANGAR, 5 Mei  — Dalam satu barisan panjang menuju ke kaunter sebuah bank di sini kelihatan seorang wanita muda leka bersama telefon pintarnya menunggu giliran di pintu bank.

Nurul Iman Engelbert Rashid, 28 seorang guru pendidikan awal kanak-kanak di sebuah taska berkata beliau baharu sahaja muat turun aplikasi MySejahtera pagi ini setelah mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pagi tadi saya ada terima SMS daripada MKN yang mengajak orang ramai memuat turun aplikasi  MySejahtera untuk penilaian kesihatan kendiri, pengesahan kawasan panas COVID-19 dan pelbagai fungsi lain,” katanya kepada Bernama sambil menunjukan SMS yang diterimanya.

Anak kelahiran Perlis berdarah kacukan Melayu-Jerman itu berkata atas sebab ingin tahu beliau segera memuat turun aplikasi itu  dan tidak menyangka bahawa banyak informasi baharu mengenai perkembangan penularan wabak COVID-19 dapat diperoleh daripada aplikasi yang dilancarkan pada 20 April lepas.

“Saya percaya aplikasi MySejahtera dapat membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan seterusnya menangani wabak COVID-19 jika dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat walaupun keadaan semakin baik,” katanya.

Katanya aplikasi itu juga dapat membantu beliau  mengetahui perkembangan semasa data jangkitan COVID-19 di luar negara dari semasa ke semasa.

“Dengan infomasi terkini saya dapat tahu keadaan di luar negara  khususnya di Jerman kerana terdapat ahli keluarga sebelah ayah di sana,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Nooren Rashid, 62 berkata aplikasi MySejahtera memberi infomasi semasa tentang keadaan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Setelah menjawab soalan beberapa soalan Penilaian Kesihatan di aplikasi MySejahtera saya rasa lega apabila diklasifikasikan sebagai  berisiko rendah…ia sedikit sebanyak dapat tenangkan hati saya ,” katanya.

Kerajaan Malaysia membangunkan aplikasi MySejahtera untuk membantu pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Pada masa yang sama, ia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara, KKM, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd