Siakap Keli

Operasi Mahkamah Syariah Di N. Sembilan Bermula Hari Ini

SEREMBAN, 5 Mei  — Operasi Mahkamah Syariah seluruh Negeri Sembilan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini sehingga 12 Mei selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan Datuk Abas Nordin berkata operasi secara dalaman melibatkan warga kerja Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) yang dijadualkan bertugas di pejabat membenarkan pelanggan hadir tanpa temu janji secara fizikal.

Beliau berkata setiap pelanggan yang berhasrat untuk memfailkan atau memohon pendengaran kes-kes dengan segera atau mendesak selaras dengan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengemukakan Surat Perakuan Segera kepada mahkamah di samping mereka boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara melalui talian telefon yang telah disediakan.

“Jadi hari ini saya maklumkan bahawa semua kaunter mahkamah syariah sama ada di JKSNS dan  kaunter mahkamah syariah di setiap daerah telah dibuka bermula hari ini dengan masa terhad dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari. Ia bermakna pelanggan masih boleh datang tetapi bukan semua kerana ia terhad kepada kes-kes mendesak sahaja.

“Kami mengambil kira panduan yang dikeluarkan oleh MKN iaitu hanya kes-kes mendesak sahaja dibenarkan untuk dijalankan sepanjang tempoh PKP seperti kes penceraian iaitu pengesahan lafaz cerai, kes-kes persetujuan bersama, penguatkuasaan perintah nafkah, permohonan injuksi dan kes melibatkan tempoh atau had masa seperti keperluan memfailkan notis rayuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abas berkata bicara kes-kes tersebut akan bermula 11 Mei dan dihadkan kepada lima kes sahaja sehari bagi setiap mahkamah.

“Lain-lain tindakan pengurusan dan perbicaraan kes selepas 12 Mei akan dibuat selaras dengan arahan semasa oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tambahnya, bagi pengendalian kes jenayah baharu yang hanya melibatkan permohonan jamin sahaja boleh dibuat dengan menghubungi Pendaftar Mahkamah Syariah yang berkenaan terlebih dahulu.

Beliau berkata sebagai langkah kawalan dan pencegahan, setiap pelanggan yang hadir ke mahkamah dikehendaki memakai pelitup separuh muka dan diwajibkan melalui saringan kesihatan dengan mengimbas suhu badan di laluan masuk ditetapkan di samping mengamalkan jarakan sosial.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul