Siakap Keli
Gambar: Bernama

Perak Tetap Tidak Benar Pelanggan Makan Di Premis

Kerajaan negeri Perak tetap dengan keputusan untuk tidak membenarkan orang ramai makan di premis makanan seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan pusat yang berkuat kuasa semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu hanya akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri dapat memastikan semua pihak berkepentingan mampu mematui prosedur standard operasi (SOP).

Keputusan yang turut merangkumi aktiviti sosial di taman awam dibuat selepas mengambil kira keperluan ekonomi dan aktiviti sosial serta ancaman COVID-19, katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya pihak industri sekiranya menghalang mana-mana syarikat daripada memulakan operasi mulai 4 Mei,

Mohamed Azmin dilapor berkata kerajaan pusat juga memandang serius pendirian beberapa kerajaan negeri yang ingkar dalam pelaksanaan keputusan membuka semula ekonomi.

PKPB yang bermula semalam membenarkan sebahagian besar perniagaan beroperasi selain aktivti sosial mengikut syarat.

Sementara itu, Ahmad Faizal menasihati pengusaha premis makanan mengambil langkah persediaan sebelum pihak pentadbiran membenarkan semula pelanggan makan di premis mereka.

Mengenai penggunaan taman awam, beliau berkata kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai pasukan penguat kuasa mencukupi untuk ditempatkan di kawasan terbabit bagi memantau pemantuhan SOP di bawah PKPB.

Ahmad Faizal berkata amalan lama seperti pengunjung yang ramai pada waktu riadah tidak lagi sesuai untuk diteruskan dalam normal baharu susulan penularan COVID-19.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right