Siakap Keli
Gambar: Google

Peraturan PKP4 Terbatal Dengan Bermulanya PKP5 Hari Ini – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 4 Mei – Peraturan-peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan fasa empat (PKP4) sebelum ini terbatal bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini sebagai PKP fasa 5 (PKP5), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru itu, katanya semua pihak perlu mematuhi peraturan di bawah PKP5.

“Jika ada pihak tertentu yang masih mahu mengikut peraturan PKP4, maka ia adalah salah kerana ia telah diganti dengan peraturan baharu PKP5.”

Beliau berkata semua negeri tertakluk pada PKP5 dan berharap agar mereka (di peringakat negeri) sedar akan perkara ini dan patuh pada PKP5.

Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir ksemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

PKPB juga membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan penting berbanding hanya dua orang dalam PKP4.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih terpakai dalam PKP5 dan hukuman kepada yang ingkar yang tetap dikenakan seperti PKP sebelumnya iaitu dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM1,000, penjara tidak lebih enam  bulan atau kedia-duanya sekali.

Beliau juga turut berkata, bagi perniagaan yang tidak mengikuti Prosuder Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, premis mereka boleh ditutup.

Datuk Seri Ismail Sabri meminta agar orang ramai yang nampak dengan jelas pengingkaran pematuhan SOP di bawah PKPB boleh membuat laporan di balai polis berdekatan dan pejabat pihak berkuasa tempatan seperti majlis daerah, majlis perbandaran dan lain-lain.

“Kalau boleh ambil gambar. Ambil video lagi bagus. Lagi terbukti apa yang dilaporkan. Saya mennyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu kerajaan memastikan pematuhan SOP di bawah PKPB,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jadual pergerakan rentas negeri dari kampung halaman bermula Khamis hingga Ahad ini,  katanya mana-mana individu yang terlepas pada tempoh tarikh yang ditetapkan itu perlu melaporkan atau mendapat kebenaran daripada pihak polis untuk pergerakan mereka.

“Sebelum ini sudah ada yang merentas negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis. Selepas daripada tarikh yang ditetapkan itu, bergantung kepada pihak polis untuk membenarkan pergerakan. Kami telah memberi pengecualian selama empat hari itu, jadi seboleh-bolehnya gunakanlah tempoh empat hari itu untuk kembali ke tempat kerja ataupun sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tidak ada lagi syarat pergerakan dalam radius 10 km sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKPB, namun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata semalam Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah menahan 401 individu ingkar PKP,  yang merangkumi 331 individu direman dan 70 individu dijamin polis.

Katanya jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat semalam adalah seramai 24,081 individu.

Tambahnya, setakat hari ini, sebanyak 244 pusat kuarantin telah beroperasi di mana 18,218 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan semalam seramai 265 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

Sumber : BERNAMA

Nor Azilah