Siakap Keli
Kredit: Harun Maruf

Pesawat Bawa Bekalan Perubatan COVID-19 Terhempas, Sekurang-Kurangnya 6 Maut

Sebuah pesawat yang membawa bekalan perubatan bagi melawan pandemik COVID-19 dilaporkan terhempas di Mogadishu, lapor Al-Jazeera.

Menurut Menteri Pengangkutan Somalia, kesemua enam orang di dalam penerbangan terbunuh dalam tragedi tersebut. Mangsa terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera penerbangan, pelatih juruterbang dan dua staf syarikat penerbangan.

Beliau walaubagaimanapun enggan memberi ulasan terhadap punca kemalangan, namun bekas Menteri Pertahanan negara itu mendakwa, seorang saksi mengaku melihat pesawat tersebut ditembak jatuh.

“Satu pesawat African [Express] Airways berlepas dari Mogadishu ke Baidoa dan meneruskan perjalanan ke bandar Bardale di mana ia terhempas. Punca kejadian masih belum dikenalpasti,” lapor Al-Jazeera memetik agensi media tempatan.

Bekas Menteri Pertahanan, Abdirashid Abdullahi Mohamed berkata, seorang saksi memberitahunya bahawa pesawat itu cuba mendarat namun terpaksa berlegar di ruang udara kerana ada haiwan liar berada di lapangan pendaratan. Namun, pesawat itu kemudiannya kelihatan ditembak pada satu sayap ketika cuba mendarat kali kedua.

Ethiopia mempunyai tentera di Baidoa dan Bardale sebagai sebahagian dari misi keamanan African Union. Walaubagaimanapun, jurucakap tentera mendakwa tidak menyedari tentang kejadian tersebut ketika dihubungi Reuters.

Sementara itu, kumpulan berkait Al-Qaeda, Al-Shabab yang menentang kerajaan Somalia dilaporkan berada di kawasan kejadian namun tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.

Sumber: Al-Jazeera

Amira

Love yourself.