Siakap Keli

118 Telur Penyu Ditemui Di Dua Lokasi Di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan

Sebanyak 118 butir telur penyu ditemui oleh pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di dua lokasi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang ditulis di halaman rasmi Facebook Pejabat Perikanan Negeri Sembilan, telur-telur itu akan dihantar ke Pusat Hiasan Ikan PD untuk dieramkan.

Difahamkan, tujuan ia dieramkan di pusat perikanan tersebut adalah untuk ditetaskan dengan selamat bagi menjamin pemuliharaan populasi penyu di perairan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, lokasi asal telur itu ditemui tidak dinyatakan atas faktor keselamatan.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Antara spesis penyu yang dikenal pasti mempunyai habitat di perairan sekitar negara adalah Penyu Belimbing (Leatherback Turtle), Penyu Agar (Green Turtle), Penyu Karah / Sisik (Hawksbill Turtle) dan Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle).

Namun, populasi penyu kini berdepan dengan ancaman kepupusan kerana pelbagai faktor seperti kemusnahan habitat dan sumber makanan (kerosakan terumbu karang/rumpai), pencemaran laut, kawasan pantai (tempat bertelur) yang sudah diubah guna (pembangunan, penempatan manusia) dan sebagainya.

Maka sebab itu, kerajaan melalui Jabatan Perikanan melaksanakan usaha mewujudkan pusat konservasi penyu di beberapa negeri bagi memastikan kelangsungan jangka hayat populasi spesis berkenaan terjamin.

 

https://www.facebook.com/perikananN9/posts/3522956094386325

Sumber: Pejabat Perikanan Negeri Sembilan, DOF

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.