Siakap Keli

15 Kanak-Kanak Dilapor Dimasukkan Ke Hospital Kerana Penyakit ‘Kawasaki’, Mungkin Berkait Covid-19

Seramai 15 kanak-kanak dilaporkan telah dimasukkan ke hospital di New York selepas disyaki menghidapi penyakit Kawasaki yang didakwa mungkin dikaitkan dengan koronavirus.

Menurut Daily Mail, Kawasaki adalah satu sindrom keradangan yang jarang berlaku dimana ianya telah menyebabkan kanak-kanak ini terpaksa berjuang demi hidup mereka di dalam wad unit rawatan rapi (ICU) di tengah-tengah penularan wabak pandemik Covid-19.

Kesemua kanak-kanak itu telah dimasukkan ke hospital di bandar New York diantara 17 April-1 Mei, dan daripada jumlah itu, lima daripadanya dilaporkan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Manakala empat daripada kanak-kanak itu telah diuji positif dijangkiti virus Covid-19, sementara enam yang lain pula didapati mempunyai antibodi yang mampu melawan virus Covid-19, lapor Daily Mail.

Walau bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Perhubungan diantara Covid-19 dan penyakit Kawasaki ini telah mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat Amerika Syarikat serta negara lain, dan doktor kini sedang mencari kemungkinan sama ada virus tersebut mampu menyebabkan penyakit keradangan kepada kanak-kanak atau tidak.

Kedua-dua penyakit yang boleh membawa maut itu dikatakan mempunyai simptom serupa kepada golongan kanak-kanak, iaitu demam panas, ruam dan ketidakselesaan. Disebabkan itu, mereka ini sering didiagnos dengan penyakit Covid-19 dan bukannya sindrom keradangan.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit yang jarang berlaku ini boleh membawa maut akibat kerosakan pada saluran darah yang membekalkan darah terus ke jantung.

Keadaan ini boleh terjadi dalam tiga fasa, termasuk ruam dan suhu badan yang tinggi pada beberapa minggu pertama, cirit birit, muntah-muntah dan sakit perut pada fasa kedua dan seterusnya kelesuan pada fasa ketiga.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun pula dilaporkan paling berisiko.

Dr. Demetre Daskalakis, timbalan pesuruhjaya kesihatan bandar untuk kawalan penyakit berjangkit, menyatakan dalam satu memo kepada persatuan petugas kesihatan: “Sekiranya pesakit mengalami sindrom seperti yang dinyatakan di atas, pakar pediatrik harus segera merujuk pesakit tersebut kepada pakar penyakit berjangkit, reumatologi, dan/atau rawatan kritikal, seperti yang dinyatakan.

“Diagnosis dan rawatan awal perlu diberikan kepada pesakit yang memenuhi kriteria atau sebahagian untuk penyakit Kawasaki ini. Ianya adalah sangat penting bagi mengelakkan kerosakan pada organ penting dan komplikasi jangka panjang.”

Ianya berlaku selepas jantung seorang gadis di Louisiana berusia 12 tahun yang sihat dilaporkan berhenti selama dua minit setelah dia didiagnos dengan sindrom keradangan yang membawa maut, yang dipercayai berkaitan dengan penyakit koronavirus.

Gadis itu dilaporkan hampir meninggal dunia apabila penyakit koronavirus itu telah menyebabkan keadaan jantungnya menjadi sebegitu.

Dia juga yang merupakan salah satu kes pertama yang telah dikesan di Amerika Syarikat kerana menghidapi keradangan, dikatakan seorang yang sangat sihat dan aktif. Namun disebabkan penyakit ini, dia kini dilaporkan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan selama dia dirawat di wad tersebut.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa