Siakap Keli
Foto: Carian Google

Jumlah Kes Covid-19 Terus Menurun, Bawa Harapan Mungkin Sedikit Peluang Petugas KKM Berehat

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Memasuki hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, orang ramai dilihat mula menyambung aktiviti harian, yang mungkin banyak tergendala sebelum ini.

Ketika ini petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mungkin boleh menarik nafas lega sedikit, kerana kerana jumlah kes COVID-19 semakin berkurang, berbanding keadaan sejak beberapa minggu lepas.

Di premis antaranya bank, pajak gadai dan kedai menjual barangan bakeri, orang ramai dilihat beratur dengan mengamalkan jarakan sosial, memakai pelitup muka serta sabar menanti giliran untuk melakukan urusan masing-masing.

Amalan normal baharu rakyat itu mendapat pujian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana anggota masyarakat mampu membuat kawalan diri, sekali gus tidak mencetuskan keadaan yang teruk ketika bermulanya pelaksanaan PKPB pada Isnin lepas.

Pemilik premis perniagaan juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sekiranya amalan ini berterusan, usaha memulihkan ekonomi negara serta perjuangan mengekang wabak COVID-19 yang sehingga kini mencatatkan 6,383 kes dan 106 kematian, mampu menempuh kejayaan yang diharapkan.

Pematuhan SOP bukan hanya mampu mengelak daripada dijangkiti virus, malah secara tidak langsung membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung wabak COVID-19, sejak beberapa bulan lepas.

Selepas kira-kira lima bulan berjuang, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa menyatakan pihaknya akan memberikan rehat kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan selepas kes positif COVID-19 semakin berkurang.

Dr Noor Hisham menyebut ia juga sebagai langkah bagi anggota itu untuk terus bertahan jika terdapat peningkatan kes, yang diharap tidak akan berlaku hasil pematuhan orang ramai terhadap SOP ditetapkan.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)