Siakap Keli

Perlukah Buaian Untuk Bayi? Ini Risiko Mak Ayah Kena Tahu Dikongsikan Jururawat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Amalan yang menjadi kebiasaan bagi kebanyakan ibu bapa dalam menjaga kualiti tidur anak kecil atau bayi mereka adalah dengan menggunakan buaian.

Adat tradisi Melayu juga menceritakan kepada kita bagaimana nenek moyang kita dahulu menidurkan bayi mereka di dalam buaian; ikat simpul kain batik dan gantung di kayu alang rumah.

Malah kita juga turut ditidurkan dengan lagu yang cukup terkenal, iaitu Buai Laju-Laju.

Namun, tahukah anda, sebenarnya buaian bayi adalah benda yang tidak perlu digunakan, malah ia juga amat tidak digalakkan. Mengapa?

Seorang warga Facebook, Bel Nawhen yang juga sebagai jururawat, berkongsi beberapa fakta dan hujah mengapa bayi tidak perlu memakai buaian.

Mari baca penjelasan berikut.

BUAIAN, ANTARA KEPERLUAN ATAU TIDAK?

Sememangnya buaian kelihatan memudahkan kerja ibu malahan seluruh isi rumah kerana bayi kelihatan mudah tidur apabila diletakkan di dalam buaian.
Buaian ada yang dibuat sendiri sama ada dengan menyangkut spring buaian ke tali/dawai yang telah dipasang/ditebuk disiling, kemudian sangkut kain batik pada pemegangnya atau membeli sedia berpalang dan mudah bergerak kemana-mana.

Teknologi terkini pula mencipta buaian dengan menggunakan tenaga elektrik hingga tidak perlu menggunakan tenaga sendiri bagi membuai bayi.

Tahukah anda, sebenarnya tidak ada tempat yang selamat selain menidurkan bayi di baby cot?

Antara alasan atau jawapan yang biasa diberikan berkaitan penggunaan buaian adalah:

• Anak tidur lebih lama dan kelihatan selesa dengan hayunan buai.

• Buaian dipilih kerana mudah menidurkan anak berbanding tidur di katil bayi yang memerlukan usaha lebih dari ibu seperti menepuk-nepuk anak hingga tidur.

• Buaian amat memudahkan ibu dalam melakukan kerja rumah sebab bayi mudah terlena semula jika terjaga selepas tidur jika dibuai.

RISIKO MENGGUNAKAN BUAIAN

• Buaian boleh menjadi risiko kepada kecederaan kepala bayi selain mampu mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.

• Penggunaan buai untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau subdural haemorrhage (Saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak boleh pecah apabila kita membuai bayi dengan kuat dan otak bergerak hala bertentangan dari tengkorak dan boleh menyebabkan pendarahan otak subdural).

Sudden Infant Death Syndrome a.k.a kematian bayi secara mengejut (kebiasaannya berlaku kepada bayi berusia kurang dari setahun dan berlaku semasa bayi sedang tidur) juga boleh berlaku kepada bayi sebab bayi tidur terlalu lena.

HAYUNAN PERLAHAN PUN BAHAYA KE?

Memanglah hayunan perlahan tu tak bahaya tetapi lantunan buai oleh spring itu boleh menghasilkan pergerakan atas bawah seperti kita menggoncang bayi menggunakan tangan kita kerana ubun-ubun bayi masih lembut. Seperti Shaken Baby Syndrome yang pernah saya tulis di link ini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1491268334217444&id=100000028740033.

Anda perlu tahu, hayunan buai juga boleh sebabkan bayi cedera jika terhantuk pada dinding atau bayi jatuh kerana hayunan yang terlebih.

Saya sendiri pernah diceritakan oleh seseorang tentang anaknya yang jatuh ke lantai sewaktu dibuai oleh suaminya yang sedang leka membaca akhbar.

Selain itu, anak juga anak-anak lain yang konon nak membantu membuai adiknya tetapi tidak sengaja terhayun buai hingga adik itu terhantuk pada dinding.

Bukan tidak ada kes kerana hayunan yang tidak terkawal, rangka besi buat menjadi tidak stabil lalu jatuh dan bayi terhantuk ke lantai dan dihempap pula oleh rangka besi.

Ada juga, spring penyangkut pemegang kain buai itu putus atau tali yang digantung disiling itu putus kerana tidak dapat menahan beban berat anak yang semakin bertambah.

Ada juga kes di mana rangka besi buai jatuh menghempap bayi dan juga spring atau tali putus.

Ada lagi bahaya yang lain seperti risiko anak jatuh ketika sudah boleh memanjat atau melasak di dalam buai dan cuba untuk turun sendiri dari buai lalu terjerut dengan kain buai itu sendiri.

Boleh berlaku tercekik atau lemas apabila bayi sudah pandai pusing badan sendiri dan mukanya menghala kebawah dan tidak pandai pusing semula badan menghala keatas.

Buaian ini juga tidak menyokong struktur tulang bayi sepenuhnya. Kita nampak bayi kelihatan terperosok dan melengkung ke bawah dan tidak ikut anatomi tubuh seperti semasa tidur didalam cot.

Alah, kita alaslah bawa dengan tilam atau bantal, kita adjustlah ketinggian buai, kita tak bagilah budak-budak lain buai anak kita sebab nak elak cedera pada anak.

Ya, benar. Tetapi berapa lama anda boleh monitor keadaan itu? Kata nak mudahkan kerja rumah. Lepas anak tidur dalam buai, bolehlah tinggal kan?

Apabila anak sudah terbiasa dengan hayunan buaian, maka mereka akan bergantung kepada hayuanan itu untuk tidur kerana kita telah ajar dari awal.

CARA TERBAIK TIDURKAN ANAK

Jadi, cara terbaik jangan kenalkan anak-anak dengan buaian. Jika sudah terlajak kenalkan, ini merupakan tips PISAH BUAI untuk anak.1) Buai anak macam biasa, apabila sudah separa sedar, angkat dan alih ke dalam katil bayi/tidur dibawah.

2) Buai anak hingga lena, angkat dan alih anak tidur di atas katilnya agar celik mata sahaja tidak nampak buai.

3) Elak letak mainan yang boleh menarik perhatiannya untuk terus berlama-lama didalam buaian.

4) Sabar jika anak-anak masih merengek mahukan buai. Memang mereka akan menangis, tetapi perlahan-lahan ajar.

5) Pujuk anak elok-elok. Mula-mula memang susah, tapi bila kita latih anak-anak setiap hari maka akan jadi senang.

Buaian ni sebenarnya akan menyusahkan ibu bapa sebab bila sudah bergantung sepenuhnya pada buai, segala komponen buai perlu dibawa kemana-mana dan anak akan meragam jika tidak ada buai. Ada sahaja kes saya jumpa anak-anak yang sudah terbiasa berbuai, masa admit wad, tidak boleh tidur dan terus menerus meragam. Kan stress tu.

Rujukan:
1. http://www.slate.com/articles/life/the_kids/2017/03/infant_loungers_bouncers_rockers_and_swings_can_be_unsafe_for_sleeping.html

2. http://www.jpeds.com/content/JPEDSBatra

3. http://pediatrics.aappublications.org/content/138/5/e20162938

Notakaki:
Dalam perut pun kita tak ajar anak berbuai, kenapa lepas lahir kita nak kenalkan dengan buai?

#BelNawhen
#SayaJururawat

Sumber: Bel Nawhen

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'