Siakap Keli
Kredit: Google

Polis Tahan Tiga Lelaki Bermain Meriam Paip Di Tepi Padang

PARIT, 6 Mei (Bernama) — Polis menahan tiga lelaki kerana bermain meriam batang paip simen serta memiliki bahan letupan di tepi padang Astaka Desa KPMP di Kampung Gajah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata ketiga-tiga individu berumur 19 hingga 22 tahun itu ditahan ketika sedang bermain meriam oleh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 10.30 malam.

Beliau berkata dua individu yang bekerja sebagai juruteknik elektrik swasta dan seorang peniaga air tebu itu telah mula bermain dari pukul 9.00 malam dan telah membuat empat ‘tembakan’ sebelum mereka ditahan.

“Ketiga-tiga mereka ditahan bersama beberapa barangan seperti batang paip simen yang diubah suai, sebatang kayu untuk mencucuh meriam dan serbuk warna putih disyaki ‘karbaid’. Turut dirampas sebuah botol plastik berisi cecair berwarna kuning disyaki diesel dan satu guni plastik berwarna merah yang digunakan untuk menutup lubang meriam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya polis akan mendapatkan perintah reman terhadap ketiga-tiga individu berkenaan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh membawa penjara tujuh tahun atau denda 10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.