Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Pulau Pinang Umum Pakej Bantuan Rakyat 2.0 Berjumlah RM76 Juta

GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) — Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta, bagi meneruskan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pakej rangsangan ekonomi negeri yang kedua itu berpandukan kepada tiga matlamat iaitu; memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan, mengupayakan golongan pekerja, dan membolehkan kelangsungan perniagaan bagi memastikan ekonomi negeri terus dibangunkan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0, ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej bantuan insentif kerajaan negeri setakat ini adalah sebanyak RM151 juta, yang telah dan bakal memanfaatkan penduduk Pulau Pinang secara langsung termasuk ahli keluarga, serta pekerja mereka,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi meringankan beban penduduk negeri Pulau Pinang, kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) akan memberikan rebat kepada hampir 600,000 unit hartanah dan memberi penjimatan lebih RM47.3 juta kepada pembayar cukai negeri Pulau Pinang.

Chow turut mengumumkan bantuan tunai RM500 kepada penjaja yang tidak menerima bantuan sebelum ini, yang dianggar seramai 8,769 orang melibatkan peruntukan RM4.38 juta, serta bantuan tunai RM400 kepada 5,841 nelayan pesisir pantai (Zon A) dan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 setiap satu kepada 250 nelayan darat dan sungai.

Menerusi pakej itu juga, kerajaan negeri akan memberikan bantuan RM500 masing-masing kepada 118 pusat jagaan kanak-kanak, 62 taska dan 465 tadika, selain peruntukan khas RM100,000 kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, yang membantu menangani masalah keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP.

Menyedari sektor pelancongan yang paling terjejas dengan penularan COVID-19, Chow berkata kerajaan negeri membuat keputusan untuk menambah dana RM10 juta kepada Skim PEKA, di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), selain peruntukan RM200,000 turut disediakan untuk pelaksanaan ‘Show Penang’, satu projek untuk membangunkan kandungan digital seni, budaya dan warisan yang pertama dalam negara.

“Sebagai tambahan kepada bantuan tunai kepada pemandu pelancong dalam pakej bantuan lepas, kerajaan negeri akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada 321 pemandu bas/van persiaran, kereta sewa/limosin pelancongan, serta RM300 kepada 39 pengusaha lancang air dan aktiviti pantai di Batu Feringghi. Secara keseluruhannya, sebanyak RM10.37 juta diperuntukkan untuk sektor pelancongan Pulau Pinang di dalam pakej ini,” katanya.

Antara bantuan lain dalam pakej bantuan itu adalah bantuan khas kewangan RM300 secara ‘one-off’ masing-masing kepada 6,099 kakitangan barisan hadapan (senarai tambahan) dan 6,050 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK)

Selain itu, pengecualian kadar sewaan dan pajakan bagi projek-projek Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dan ‘State Secretariat Incorporated’ (SSI) yang berkaitan bagi bulan April dan Mei melibatkan 333 pengusaha/syarikat.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story