Siakap Keli

Jadi Saksi Tanah Ayahnya Dirampas Semasa Kecil, Kisah Pemuda Nekad Jadi Peguam & Akhirnya Berjaya Dapatkan Kembali Selepas 23 Tahun Berjuang

Melihat tanah kepunyaan ayahnya dirampas sewaktu berusia enam tahun, ia membuatkan dirinya tekad menyimpan ‘dendam’ demi menuntut bela hak keluarga.

Atas usaha keras, akhirnya selepas 23 tahun ‘berjuang’, kini seorang peguam dari Uganda, Jordan Kinyera berjaya mendapatkan semula tanah keluargnya yang dirampas itu secara sah melalui undang-undang.

Peguam, Kinyera yang berjuang untuk kes ayahnya sendiri. Gambar: Agensi

Satu ketika dahulu

Menurut laporan agensi CNN, semasa Kinyera kanak-kanak dahulu, ayahnya sering mengeluh bahawa terdapat pihak yang mahu mendapatkan tanahnya di wilayah Kitgum, utara Uganda.

“Ia meninggalkan kesan yang kekal kepada saya.

“Dia (ayah) telah memohon untuk mendapatkan tanah beserta dokumen hak namun ianya tidak dapat diteruskan kerana isu-isu sekeliling.

“Bagaimanapun, saya (sejak itu) mula bertekad untuk menjadi seorang peguam supaya saya boleh membantu orang yang tersepit dalam konflik seperti ini,” katanya kepada CNN melalui emel.

Suasana perkampungan di wilayah Kitgum, Uganda. Gambar sekadar hiasan

Mengimbas kembali, ayah Kinyera tinggal di situ semasa sejak kecil sehingga menginjak usia dewasa.

“Dia mempunyai banyak kenangan di sana. Di situlah tempat ramai saudara-maranya dikebumikan, termasuklah abangnya.

“Namun dia kehilangan hak pada tanah itu pada 1996 lalu apabila dia disaman oleh seorang jiran selepas isu pertikaian tanah.

“Banyak kes tuntutan telah difailkan selama bertahun-tahun dengan satu kes yang berlangsung sehingga satu dekad.

“Sudah banyak wang terpaksa dikeluarkan untuk menampung kos perundangan, namun terdapat perintah yang dikeluarkan melarang ayah saya untuk melakukan sebarang aktiviti di tanah itu,” kata peguam muda itu.

Turun naik mahkamah sehingga kemurungan

Menurutnya, proses tuntutan hak itu telah memaksa ayahnya turun naik mahkamah sehingga bertahun-tahun lamanya.

“Ianya sangat menyakitkan ayah saya dan menyebabkannya kemurungan.

“Kadang-kadang dia akan terasa ‘down’ dan menangis, serta kondisi kesihatannya semakin merosot,” tambah Kinyera lagi.

Tambahnya, isu pertikaian pemilikan tanah di Uganda adalah perkara biasa dan adakalanya hingga menyebabkan keganasan.

Tekad berjuang tebus hak

Perampasan hak milik keluarga itu terlalu perit dialaminya hingga meninggalkan parut dalam hati untuk dia tekad berjuang merampasnya kembali.

Dari usia enam tahun, sehinggalah menuju usia dewasa, hasratnya itu tidak pernah padam walau sekali.

Keadaan tersebut mendorong Kinyera untuk memberi tumpuan berkenaan undang-undang tanah sewaktu dia menuntut di sekolah perundangan.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh membuat penyelidikan secara menyeluruh untuk memahami isu pertikaian tanah dan juga mencari jalan solusi bagi ayah saya.

“Saya tahu tugasan (permohonan) ini menakutkan kerana apa yang saya tahu berkenaan rayuan terakhir, sekiranya kalah, tidak ada sebarang penebusan. Saya pasti akan buat ayah dan keluarga menangis,” katanya.

Misi berjaya

Kinyera menjelaskan, ayahnya tidak dapat hadir ke mahkamah untuk urusan penghakiman namun reaksinya sangat mengujakan.

“Apabila saya mengubunginya untuk memberitahu tentang kemenangan kes, dia terlalu gembira.

“Dia terharu, terduduk dan menangis.

“Dia (kini) bertarung dengan sakit Alzheimer , jadi dia sering kali diingatkan dari semasa ke semasa bahawa anaknya ini telah memenangi kes itu dan berjaya mendapatkan kembali tanah tersebut,” katanya.

Kisah perjuangan peguam muda ini pernah menjadi topik utama di beberapa agensi berita antarabangsa. Gambar: Google

Selepas 23 tahun

Kini, selepas 23 tahun termasuklah latihan (pengajian) yang dijalaninya untuk menjadi seorang peguam, Kinyera akhirnya berjaya memenangkan kes ayahnya di mahkamah.

Mahkamah Tinggi Rayuan di Uganda akhirnya menetapkan pada akhir minggu (ketika itu) atas permintaan ayahnya untuk mengakhiri perbicaraan-perbicaraan tersebut setelah dua dekad tempoh pengadilan.

Pada Kinyera, kemenangan bersejarah itu adalah sangat manis.

“Saya gembira atas segala usaha keras saya akhirnya terbayar dan ayah saya telah dapat tanahnya semula.

“Bagaimanapun dalam masa sama, ianya agak menyakitkan kerana dia kini sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa pada tanahnya kerana usianya sudah menjangkau 82 tahun,” kata peguam itu lagi.

Sumber: CNN

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.