Siakap Keli

Perak rekod 1,351 Kes Denggi, Daerah Kinta Paling Tinggi

IPOH, 7 Mei — Sebanyak 1,351 kes demam denggi direkodkan di Perak sejak Januari tahun ini hingga Sabtu lepas iaitu peningkatan 11.3 peratus berbanding 1,214 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata daerah Kinta merekodkan kes tertinggi iaitu 776 diikuti Batang Padang (126 kes) dan Larut Matang, Selama (96).

“Daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi kes demam dinggi iaitu peningkatan 135 peratus berbanding sehingga minggu yang sama pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam tempoh 1 Jan-2 Mei lepas terdapat 29 lokaliti wabak dilaporkan membabitkan enam lokaliti titik panas iaitu wabak yang berlarutan melebihi 30 hari, dua wabak tidak terkawal iaitu wabak berlarutan melebihi 14 hari dan 21 lokaliti wabak terkawal iaitu wabak dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengisytiharan wabak.

Lima daripada enam lokaliti titik panas denggi adalah dari daerah Kinta iaitu Kampung Chepor Tambahan (19 kes), Kampung Tersusun Batu 10 (25 kes), Taman Klebang Jaya (11 kes), Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 (30 kes) dan RPT Chepor (19 kes).

“Manakala satu lagi lokaliti titik panas denggi adalah di daerah Batang Padang iaitu Taman Bukit Hijau dengan 17 kes,” katanya sambil menambah terdapat satu kes kematian disebabkan oleh demam denggi dilaporkan di Perak iaitu di daerah Larut Matang, Selama pada awal Januari lepas.

Dr Ding berkata, punca utama kejadian demam denggi adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti-lokaliti terbabit antaranya di lot kosong terbiar, rumah atau premis kosong yang tidak berpenghuni terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Begitu juga di dalam longkang-longkang yang tidak diselengara dengan baik, tapak-tapak pembinaan, tong tadahan air yang tidak bertutup di dalam dan luar rumah yang menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes,” katanya sambil menambah 4,484 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemui di negeri ini sejak Januari hingga 2 Mei lepas.

Katanya, pihak Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian demam denggi antaranya menjalankan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) di premis-premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang.

“Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan di mana 743 kompaun dan 115 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra