Siakap Keli

Sabah Mahu Wujudkan Semula Lembaga Padi Sabah

BELURAN, 7 Mei — Kerajaan negeri Sabah mahu mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah sebagai langkah untuk meningkatkan tahap sara diri beras di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata badan itu, yang dibubarkan pada 1981, akan memastikan sistem penanaman padi dijalankan secara teratur dan lebih tersusun di seluruh negeri.

“Badan ini akan mentadbir urus (industri penanaman padi di Sabah), dan kawasan untuk penanaman padi yang telah dikenal pasti akan dizonkan dan kepakaran dalam negeri ditingkatkan.

“Sabah mempunyai banyak tanah yang subur dan sesuai untuk penanaman padi yang sepatutnya berada di hadapan dalam pengeluaran beras untuk rakyat Sabah, malah untuk dieksport,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Beras Terusan Sapi dekat sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata tahap sara diri beras di Sabah hanya sekitar 25 peratus, manakala selebihnya bergantung kepada bekalan import dari negara-negara pengeluar beras seperti Vietnam dan Thailand.

Katanya mencapai tahap sara diri beras negeri akan menjamin keselamatan makanan di Sabah, terutamanya pada waktu yang tidak dijangka.

Mengenai projek jelapang padi di Kota Belud yang tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, beliau berkata pendekatan baharu perlu diambil untuk memastikan projek yang telah menelan belanja hampir RM400 juta itu berjaya.

Sumber:  BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul