Siakap Keli
Gambar: Agensi

16 Buruh Maut Digilis, Dipercayai Tertidur Keletihan Ketika Berehat Seketika Atas Rel Kereta Api

16 pekerja migran maut setelah digilis kereta api dalam satu kejadian nahas di wilayah Aurangabad, Maharashtra, India awal pagi tadi.

14 daripadanya terkorban serta-merta di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan parah.

Memetik laporan Indian Express, pekerja-pekerja tersebut yang berjalan kaki dari Jalna ke Bhusawal untuk menaiki kereta api Shramik Special bagi kembali ke Madhya Pradesh dipercayai tertidur di atas laluan rel kereta api berkenaan.

Wakil polis Aurangabad, Inspektor Satish Khetmalas berkata, pekerja migran tersebut tertidur di atas rel tersebut akibat keletihan.

“Kesemua mereka berjumlah 20 orang, berjalan kaki dari Jalna ke Bhusawal yang jauhnya kira-kira 150 kilometer.

“Mereka berhenti untuk berehat seketika setelah berjalan kaki sejauh 45 kilometer, lalu tertidur di rel tersebut sebelum kereta api berkenaan merempuh mereka pada pukul 5.15 pagi,” katanya.

Daripada 20 pekerja migran terbabit, 16 daripadanya disahkan terkorban, manakala seorang dilaporkan cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Awam Aurangabad sementara tiga lagi didapati selamat kerana tidur di kawasan lain.

Cubaan berhenti gagal

Difahamkan, terdapat cubaan daripada kru untuk menghentikan pergerakan kereta api itu namun tidak berjaya.

Ketua Perhubungan Awam South Central Railway, Ch Rakesh berkata, pembantu jurupandu kereta api sebelum itu dapat mengesan keberadaan pekerja migran berkenaan di rel tersebut.

“Dia telah memberi hon dan cuba memberhentikannya namun hilang kawalan kelajuan sebelum merempuh mereka yang berada di rel,” tambahnya.

Perhatian perdana menteri

Tragedi nahas itu mendapat liputan segera sehingga ke peringkat persekutuan.

Perdana Menteri, Narendra Modi memuat naik satu ciapan di Twitter.

“Sangat terkilan dengan kehilangan nyawa akibat kejadian nahas kereta api di Aurangabad, Maharashtra.

“Saya telah bercakap kepada Menteri Kereta Api, Shri Piyush Goyal dan dia kini sedang mengawal rapat situasi tersebut.

“Segala bantuan yang diperlukan akan dipersiapkan,” katanya.

Dalam pada itu, pemerintah wilayah Madhya Pradesh telah mengumumkan pampasan sebanyak RS500,000 (anggaran RM29,000) untuk setiap keluarga individu yang terkorban.

Sumber: Indian Express, Twitter

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.