Siakap Keli
Gambar: Bernama

21 Gelandangan Mula Kerja Minggu Depan Di Tiga Syarikat – Annuar Musa

Kuala Lumpur: Seramai 21 daripada 72 gelandangan yang menjalani  proses temu duga di bawah Program Persediaan Kerjaya dan Temu Duga Kerja akan mula bekerja di tiga syarikat pada 13 Mei ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan bahawa baki daripada jumlah gelandangan tersebut akan menjalani proses sama bersama syarikat lain dalam masa terdekat.

”Dijangka program penempatan pekerjaan oleh Jabatan Tenaga Kerja WPKL ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang gelandangan bagi fasa pertama.

”Program ini merupakan usaha untuk mengubah kehidupan golongan gelandangan di Wilayah Persekutuan. Selain peluang pekerjaan, program ini juga memberikan peluang latihan kemahiran kepada gelandangan melalui Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Annuar, terdapat sembilan syarikat dikenal pasti memenuhi kriteria Jabatan Tenaga Kerja WPKL serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), antaranya Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn. Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd.

Katanya, kesemua syarikat tersebut akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 serta peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.

”Gelandangan juga memperoleh kemudahan lain seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa dan lain-lain peruntukan di bawah akta ini. Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menjadi salah satu syarat wajib,” kata Annuar.

Beliau berkata sebuah syarikat pembuatan sarung tangan sedang mengusahakan satu progam khas bagi membolehkan kerja pembungkusan barangan dibuat di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di Anjung Singgah.

”Seramai 70 gelandangan dijangka menyertai program khas tersebut,” katanya.

Program Persediaan Kerjaya dan Temu Duga Kerja merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Tenaga Kerja WP Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PERKESO, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.