KUALA LUMPUR, 8 Mei — BookDoc menjalin kerjasama dengan syarikat platform teknologi kesihatan dari China, WeDoctor, memperkenalkan Pusat Konsultasi dan Pencegahan Global (GCPC) yang menawarkan perkhidmatan perubatan dalam talian 24 jam sehari selama tujuh hari seminggu, dalam usaha bersama memerangi COVID-19.
Dalam satu kenyataan bersama, BookDoc menjelaskan platform itu menyokong dua bahasa, iaitu Inggeris dan Cina, yang akan menggabungkan sumber perubatan dari dalam dan luar negara, untuk memperluaskan penjagaan kesihatan tanpa sempadan.
“Kami teruja dapat menjalin kerjasama dengan WeDoctor, untuk memperkenalkan saluran digital lain untuk memerangi pandemik ini dan berharap dapat kembali kepada kehidupan normal.
“Kami percaya usaha sama ini akan memainkan peranan penting dalam mencapai impak pembangunan dan pertumbuhan, memenuhi keperluan perniagaan yang berubah dengan cepat dan pada masa yang sama, memperbaiki penyampaian penjagaan kesihatan, memberikan penjagaan berkualiti dan menawarkan perawatan yang adil dan berpatutan sebagai tujuan mulia,” kata Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, GCPC, memberikan bantuan masa nyata seperti konsultasi dalam talian, bantuan psikologi, perundingan Perubatan Tradisional Cina dan panduan pencegahan.
BookDoc dan WeDoctor akan meneroka perkongsian dalam pelancongan perubatan dan merangka strategi untuk mendapatkan kelebihan daya saing untuk menjangkau pelancong perubatan dari seluruh dunia, menurut kenyataan itu.
BookDoc, adalah syarikat platform teknologi kesihatan dalam talian yang beroperasi di Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Thailand.
Sumber: BERNAMA