Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Isu COVID-19 Antara Perbincangan Muhyiddin Dengan Trump

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Isu pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, menjadi antara topik yang dibincangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump malam ini.

Muhyiddin yang menerima panggilan telefon daripada Trump berkata selain menerima ucapan tahniah bagi kerajaan yang baharu, beliau menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik COVID-19 serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik itu ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman sosial Facebooknya.

Selain itu, Muhyiddin dan Trump turut membincangkan usaha-usaha termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19 kelak.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.

“Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 29 Feb lepas.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story