PUTRAJAYA, 8 Mei — Pihak pengurusan pasar raya diminta tidak membuat undang-undang sendiri, dengan mengenakan larangan yang bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kepada pelanggan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu seperti mewajibkan pelanggan memakai penutup hidung dan mulut, sebelum memasuki premis mereka.
“Pemakaian penutup hidung dan mulut bukanlah satu yang wajib dan jika tidak memakainya tidak melakukan kesalahan di bawah Akta 342 atau peraturan-peraturan di bawah akta itu,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan sesetengah pihak yang mendakwa, pasar raya tidak membenarkan pelanggan masuk sekiranya tidak memakai penutup hidung dan mulut.
Ismail Sabri berkata walaupun pemakaiannya tidak diwajibkan, namun kerajaan menggalakkan orang ramai untuk memakai penutup hidung dan mulut, terutamanya bagi mereka yang bergejala.
Sumber: BERNAMA