Siakap Keli

Usul Tidak Percaya Terhadap PM Dibuat Tun Mahathir Diterima Speaker Dewan Rakyat

Putrajaya, 8 Mei – Usul Tun Dr Mahathir berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima empat usul dari Ahli-ahli Parlimen sejak Notis Memanggil Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Rakyat dikeluarkan pada 17 April lalu.

Antara usul yang diterima ialah usul yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengenai keyakinan Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu,

“Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Antara usul lain yang dikemukakan ialah berkenaan pelanjutan persidangan Dewan Rakyat kepada lapan hari dan hak Parlimen mengawal selia tatacara tanpa terikat dengan mana-mana peraturan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usul tersebut telah dikemukan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, YB Datuk Liew Vui Keong.

“Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar sebahagian ditolak dengan alasan dikemukakan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” kata Mohamad Ariff.

Semalam, beliau telah menolak permohonan MP Semporna dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen (MP) Langkawi dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan.

Katanya, beliau menolak pembentangan usul itu kerana ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagan Persekutuan serta mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik perdana menteri.

Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 akan berlangsung selama satu hari iaitu Isnin, 18 Mei 2020.

 

Sumber: Parlimen Malaysia

Amira

Love yourself.