Siakap Keli

(Video) Disangka Berlaku Rompakan, Keadaan Mesin ATM Seperti ‘Diumpil’ Rupanya Angkara Monyet

Polis di India terpaksa digegaskan ke sebuah mesin bank yang terletak berdekatan dengan istana presiden negara itu selepas ianya disyaki dirompak.

Namun begitu, ketika pihak polis tiba ke tempat kejadian, mereka mendapati bahawa dalang kononnya ‘rompakan’ tersebut hanyalah seekor monyet.

Kejadian tersebut berlaku selepas pegawai polis di New Delhi telah digegaskan ke sebuah mesin ATM di sebuah bank yang terletak 10 minit daripada istana itu pada hari Rabu selepas bahagian skrin mesin ATM itu ditarik keluar.

Mengesyaki bahawa ada cubaan merompak sedang berlaku, pihak polis terus meneliti rakaman CCTV lalu mendapati bahawa suspek ‘rompakan’ itu adalah merupakan seekor monyet.

Rakaman video yang memaparkan monyet dipercayai berspesis Rhesus Macaque itu merupakan monyet yang tinggal di bandar. Monyet tersebut telah memanjat bahagian depan mesin ATM itu dan menarik bahagian atas mesin terbabit.

Selepas sahaja monyet itu berjaya membuatkan skrin yang terdapat pada mesin itu terbuka, ianya terus beredar meninggalkan tempat kejadian.

Monyet tersebut juga sempat menarik dan menghidu plastik yang terdapat dalam mesin ATM itu sebelum menggoyang-goyangkan bahagian skrin yang telah terbuka itu sebanyak beberapa kali.

Selepas selesai melakukan ‘aktiviti’ tersebut, monyet itu mula turun daripada mesin tersebut dan keluar daripada kawasan itu.

Walau bagaimanapun, masih tidak dapat dijelaskan tentang bagaimana monyet berkenaan boleh berjaya masuk dan keluar dari kawasan ATM itu walaupun ianya berpintu dan tertutup.

Seorang sumber menyatakan: “Seorang pegawai bank yang tiba di kiosk itu mendapati bahawa mesin ATM tersebut telah rosak dan seterusnya mencetuskan bunyi penggera seakan ada rompakan sedang berlaku.

“Rakaman CCTV yang diperiksa kemudiannya mendedahkan bahawa rompakan tersebut hanyalah tindakan seekor monyet yang sesat sahaja.”

Menurut Daily Mail, terdapat kira-kira 4,000 hingga 5,000 ekor monyet spesis Rhesus Macaques yang hidup sekitar bandar New Delhi. Monyet-monyet ini juga pernah mempunyai rekod menimbulkan kekacauan pada sebelum ini.

Difahamkan, monyet-monyet ini sering dilihat mencuri makanan, merosakkan kabel elektrik, bahkan pernah terlibat dalam melakukan serangan terhadap orang ramai.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa