Siakap Keli
Kredit: The Sun UK

Peningkatan Kes Seakan Penyakit Kawasaki Mungkin Berpunca Dari COVID-19 -Pakar Perubatan

Pakar perubatan di Eropah dan Amerika Syarikat mengesyaki kemungkinan COVID-19 menyebabkan pertambahan kes seakan penyakit Kawasaki dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut New York Times, negara yang terkesan dengan penularan COVID-19 dalam skala besar mempunyai lebih banyak kes berkenaan, malah sebahagian kanak-kanak dijangkiti penyakit itu turut disahkan positif COVID-19.

Antara negara tersebut adalah UK, Perancis, Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Kawasaki merupakan penyakit jarang berlaku yang menyebabkan keradangan pada salur darah. Penyakit yang lebih cenderung menyerang kanak-kanak ini menyebabkan beberapa simptom iaitu demam panas yang tidak surut, ruam, bengkak atau kemerahan pada tangan dan tapak kaki, bengkak pada lidah serta mata merah.

Biarpun mempunyai simptom serupa, pakar perubatan menegaskan sindrom baru berkait COVID-19 itu adalah berbeza dengan penyakit Kawasaki.

“Ia merupakan penyakit yang baru dikenalpasti untuk dua minggu, jadi banyak lagi yang kita cuba pelajari tentangnya,” kata Ketua Penjagaan Kritikal Pediatrik di Cohen Children, Dr James Schneider dalam temubual Selasa lalu.

Kanak-kanak menunjukkan simptom bertindihan antara COVID-19 teruk, sindrom kejutan toksik dan penyakit Kawasaki.

Setakat Rabu lalu, seramai 64 orang kanak-kanak di New York dilaporkan dimasukkkan ke hospital kerana satu penyakit jarang berlaku yang dipercayai berkait dengan koronavirus serta mempunyai simptom menyerupai penyakit Kawasaki.

Doktor-doktor tempatan mengenalpasti kes baru yang mula muncul setelah sebulan peningkatan mendadak COVID-19 di wilayah itu.

Garis masa itu menunjukkan “ia adalah tindak balas imun pasca-penularan terhadap koronavirus,” kata Dr. Leonard Krilov, ketua pediatrik di NYU Winthrop Hospital di Mineola, New York.

Sementara itu, National Healthcare Service (NHS) England pula mendakwa sebahagian kanak-kanak menunjukkan simptom sindrom kejutan toksik (berpunca daripada jangkitan bakteria ke dalam badan dan membebaskan toksin) serta penyakit Kawasaki atipikal dengan parameter darah yang konsisten dengan kanak-kanak yang mengalami COVID-19 teruk.

Malah, badan kesihatan di England mendakwa jumlah kes melibatkan kanak-kanak di unit rawatan rapi dengan keradangan pelbagai sistem meningkat.

Apa ibu bapa perlu lakukan

Sementara itu, sebahagian pakar perubatan percaya sindrom itu bukanlah penyakit Kawasaki, sebaliknya satu penyakit baru yang seakan-akan penyakit tersebut.

Menurut Dr Katie Schafer, pakar kanak-kanak di sebuah hospital swasta Birmingham, Michigan, disebabkan masih banyak yang belum diketahui mengenai penyakit tersebut, ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami simptom seperti demam, ruam atau sakit pada abdomen dinasihatkan agar tidak mengambil mudah simptom ditunjukkan, sebaliknya bertemu dengan doktor untuk mendapatkan nasihat.

“Ia seakan-akan penyakit kebiasaan kanak-kanak, tetapi ianya bukan. Ia adalah penyakit baru yang belum betul-betul mempunyai nama, belum mempunyai garis masa dan protokol. Kami tidak belajar tentangnya di kampus perubatan,” kata Dr Katie.

Beberapa kanak-kanak yang mempunyai sindrom itu sama ada disahkan positif koronavirus atau mempunyai antibodi positif koronavirus, menunjukkan mereka mungkin pernah dijangkiti virus itu.

Tambah Dr Katie, ia kemungkinan satu keadaan selepas jangkitan (post-infection) dan tidak semestinya sebahagian dari fasa akut COVID-19.

Sumber: NY Times, NY Times (2), CBS News, WebMd, Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.