Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Sindiket Seludup Minuman Keras, Pemalsuan Dokumen Tumpas – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Seorang wanita antara 21 individu ditahan, kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan minuman keras, pemalsuan pas pekerja sementara, dan setem duti kastam dalam tiga serbuan di Kajang, Subang Jaya dan Serdang, di sini, pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan pertama di Kajang, seramai 17 lelaki termasuk lapan warga Myanmar berusia 24 hingga 51 tahun ditahan.

Katanya, sebanyak 78,120 tin minuman keras seludup bernilai RM325,000 selain sebuah lori kontena, sebuah van, dan wang tunai berjumlah RM8,000 turut dirampas dalam serbuan itu, manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM550,000.

“Enam keping pas pekerja sementara dipercayai palsu dan beberapa pelekat hologram untuk tujuan pemalsuan turut dirampas, daripada salah seorang suspek yang ditahan.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Mei untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras seludup tanpa cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan seterusnya di Subang Jaya dan Serdang, Acryl Sani berkata, empat lagi individu ditahan termasuk seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia berusia 50 hingga 70 tahun, disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan dokumen setem duti kastam, dan pas pekerja tempatan.

“Sebanyak 104 keping hologram setem palsu Jabatan Imigresen dan United Nations High Commisioner For Refugees (UNCHR), Kerajaan Indonesia dan dua gulung kertas aluminium setem Jabatan Imigresen, telah dirampas.

“Selain itu, turut dirampas 43 keping kertas ‘aluminum template’ permit PAS Malaysia dan Visa Malaysia, dan sembilan bungkus setem Jabatan Kastam Diraja Malaysia, mengandungi kira-kira 130,000 keping turut dirampas,” katanya.

Katanya, dua suspek itu direman selama sehari semalam, manakala dua lagi direman empat hari bermula semalam sehingga 10 Mei, bagi membantu siasatan.

Acryl Sani berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen dan Seksyen 472 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story