Siakap Keli
Gambar: CNA

COVID-19: Isu Penentukuran Radas Jadikan 33 Kes Positif Di Singapura Sebelum Ini Sebagai Tidak Betul

SINGAPURA, 11 Mei — Sejumlah 33 kes yang diuji positif COVID-19 oleh sebuah makmal di sini, didapati tidak benar, susulan timbul isu berkaitan penentukuran radas bagi salah satu kit ujian penyakit itu.

“Ujian semula berikutnya di Makmal Kesihatan Awam Nasional mengesahkan bahawa ia adalah kes negatif,” kata Kementerian Kesihatan republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Menurutnya tiada keputusan negatif yang ‘tidak betul’ dikesan menerusi ujian semula itu.

Kementerian itu berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan, dan menambah bahawa makmal itu telah menghentikan semua ujian, dan sedang berusaha menyelesaikan isu penentukuran itu.

Selain itu, menurut Kementerian Kesihatan berkenaan, terdapat dua hasil ujian yang kurang jelas sebelum ini, dan ia kemudiannya disahkan negatif selepas melalui ujian semula.

Sehingga semalam, kes COVID-19 yang dikesan di Singapura berjumlah 23,336 dengan 425 lagi kes jangkitan COVID-19 telah discaj dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti di sini, menjadikan jumlah yang telah discaj kini menjangkau 2,721.

Ketika ini 1,097 kes disahkan masih dirawat di hospital, dengan 22 di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu 19,498 pesakit yang mengalami gejala ringan, atau secara klinikal baik tetapi masih diuji positif untuk COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga Ahad, 876 kes baharu dikesan, satu dilaporkan kes import dari Qatar, empat kes dalam komuniti, 11 melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama, dan 860 pekerja asing dalam asrama.

Singapura merekodkan 20 kematian sejak dua dilaporkan pada 21 Mac.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa