Siakap Keli

Guna Bantuan GKP, BPN Modal Mula Niaga Kambing Perap

KEPALA BATAS, 11 Mei  — Pasangan suami isteri Rosnizam Ishak dan Roazian Md Noor sama sekali tidak menyangka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa mereka menutup kedai makan yang diusahakan sekian lama, sebaliknya membuka jalan baharu untuk mereka berkecimpung dalam perniagaan kambing perap.

Malah pasangan suami isteri berusia 43 tahun dari Bertam ini kini nampak cukup selesa menggunakan teknologi media sosial dalam meningkatkan kemajuan perniagaan mereka.

Pada mulanya mereka mengaku cukup bimbang kerana hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan PKP, dan mereka cukup sedar bahawa ikhtiar perlu dicari bagi memanfaatkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disalurkan kerajaan berjumlah RM4,000, supaya ia tidak habis begitu sahaja.

“Memang pendapatan terjejas sangat-sangatlah, masa tu Kak Yan (Roazian) fikir apa nak dibuat, nak tambah pendapatan. Masa mula-mula PKP saya berniaga macam-macam dari rumah termasuk nasi lemak dan suami sebagai ‘runner’ menghantar ke rumah pelanggan, tapi masa ni (PKP) rasa ramai sangat persaingan berniaga nasi, terutama nasi lemak.

“Kami suami isteri duduk berbincang semula selepas dapat duit GKP dan BPN itu, kalau tak buat apa-apa (berniaga) mesti habis macam tu saja (duit).. jadi kami fikir apa salahnya cuba buat kambing perap, lagipun senang nak dapat bahan mentah serta tidak renyah, manakala resepi pula cuba ‘trial and error’ sehingga dapat yang betul-betul memenuhi selera,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Roazian berkata bermula dengan lima kilogram daging kambing sahaja, mereka sama sekali tidak menjangka kini mereka mampu menjual sehingga 50 kilogram sehari, malah apa yang lebih mengembirakan ialah apbila mereka dapat berkongsi rezeki dengan orang lain, yang turut terjejas pendapatan berikutan penularan wabak COVID-19 itu.

Katanya beliau mengambil dua orang pekerja untuk membantu membuat perapan, dan aktiviti jualan pula dilakukan menerusi platform laman sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi WhatsApp.

“Di sinilah timbul normal baharu, maksudnya orang nak beli tapi tak boleh keluar, jadi kami sediakan segalanya, iaitu platform untuk orang beli secara dalam talian, dan penghantaran terus ke rumah pelanggan, tanpa perlu mereka keluar rumah,” katanya.

“Kami juga buka jualan kepada agen untuk bersama-sama menambah pendapatan. Ramai juga pemandu limosin lapangan terbang turut menjadi agen atau ‘runner’ bagi menghantar kambing perap kami untuk mencari rezeki, memandangkan ketika ini sumber pendapatan mereka turut terjejas susulan ketiadaan pelancong,” tambahnya.

Menurutnya beliau juga tidak menyangka dengan menjalankan perniagaan dari rumah, mereka boleh mendapat untung yang hampir sama dengan membuka kedai makan seperti sebelum ini, malah mereka lebih kreatif, tenang dan boleh menjaga anak-anak sendiri tanpa perlu menghantar ke rumah pengasuh atau taska.

Sementara itu, Rosnizam berkata perniagaan kambing perap yang mereka jalankan itu adalah antara hikmah PKP yang dirasai bersama isterinya apabila berjaya mencipa satu peluang perniagaan baharu.

“Memang langsung tak pernah terfikir nak berniaga dari rumah sebelum ini kerana kami selesa mengusahakan kedai makan, tapi alhamdulillah nampaknya kambing perap mendapat sambutan, malah dengan modal RM4,000 yang diberikan kerajaan kepada kami dapat menjana pendapatan serta membantu orang lain sama,” katanya.

Menurutnya berikutan sambutan yang menggalakkan, beliau bercadang untuk meneruskan perniagaan kambing perap itu pada masa hadapan di samping menjalankan kedai makan.

“Bukan tamak, tapi sebenarnya niat kami untuk sama-sama membantu agen terlibat dalam perniagaan kambing perap ini.. agen dah ada pasaran mereka sendiri, jadi apa salahnya kita teruskan supaya sama-sama menambah pendapatan,” katanya.

Kambing perap pasangan suami isteri itu dijual dengan harga RM55 sekilogram dan RM33 untuk 600 gram.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul