Siakap Keli

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan Dalam Proses Persediaan Tatacara Baru Pengimarahan Masjid

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac yang lalu telah melarang sebarang aktiviti secara berkumpulan.

Namun, ramai yang pasti merindukan suasana berjemaah di masjid dan surau lebih-lagi di bulan Ramadhan ini.

Walau bagaimanapun, Masjid Negeri Sultan Ahmad, Kuantan melalui Facebook rasmi memberitahu bahawa masjid tersebut kini dalam proses persediaan kaedah tatacara baru pengimarahan masjid.

Assalamualaikum

Setelah hampir 2 bulan ditutup untuk sebarang aktiviti beribadat yang melibatkan orang ramai, kini Masjid Negeri Sultan Ahmad Kuantan dalam proses persediaan untuk mengaplikasi kaedah serta tatacara baharu pengimarahan masjid; sebelum ia dapat dibuka sepenuhnya bagi kegunaan jemaah. Proses ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana banyak pertimbangan yang perlu dibuat bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kekhusyukan beribadah kepada jemaah kami

Sememangnya keselamatan jemaah adalah keutamaan kami. Sejak penutupan sementara operasi masjid pada 18 Mac 2020, kami telah mengambil beberapa langkah awal untuk membendung penularan wabak ini:

Justeru demi memastikan virus sedia ada tidak berulang kembali, beberapa langkah dan kaedah baharu telah dirangka. Antaranya ialah proses pengambilan suhu kepada para jemaah, proses pengasingan jemaah yang tidak sihat serta kempen penggalakkan agar jemaah membawa peralatan ibadat sendiri apabila hadir beribadat di masjid

Bagi mendapatkan pandangan profesional, kami telah memperolehi nasihat daripada pelbagai latar dan bidang kepakaran; termasuklah pakar kesihatan, pakar kejuruteraan bangunan dan juga para agamawan bagi menentukan dasar yang khusus serta garis masa yang munasabah bagi pembukaan semula aktiviti ibadat di masjid

Beberapa cadangan telah dikemukakan, antaranya membataskan aktiviti berjemaah kepada 15 minit, tatacara penjarakan selamat saf antara satu jemaah dengan jemaah yang lain dan juga peraturan pemakaian pelitup hidung dan mulut. Begitu juga cadangan untuk mewujudkan mekanisme khusus pengesanan kontak (contact tracing) serta mencari kaedah terbaik melalui penggunaan teknologi bagi mempercepatkan pelaksanaannya kelak

Insya-Allah semua hasil cadangan ini akan dibentangkan dalam kadar segera kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dan seterusnya mendapatkan pekenan dari KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Ayuhlah kita sama-sama berperanan untuk bertanggungjawab secara sosial – menjaga jarak sosial, elakkan berjabat tangan dan teruskan beribadah di rumah jika tidak sihat. Terus ikuti sunnah Nabi kita Muhammad s.a.w. dengan menjaga kebersihan diri

Kita tidak mahu menjadi penyebab kepada penyebaran virus ini kepada orang tersayang

Sumber: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Nur Farra