Siakap Keli
Kredit: Google/Bernama

Lima Sekeluarga ‘Kantoi’, Polis Rampas Dadah Lebih RM12 Juta

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan pengedaran dadah didalangi lima sekeluarga selepas menahan 18 individu serta merampas dadah bernilai lebih RM12 juta dalam operasi empat hari sejak Sabtu lepas di beberapa negeri.

Mereka yang ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Selangor, Kelantan, Pahang, Pulang Pinang dan Johor itu terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita tempatan serta empat lelaki warga Thailand.

Mereka berusia antara 21 dan 67 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata pihaknya turut menemui makmal memproses dadah dikendalikan sindiket berkenaan di sebuah rumah di Muar, Johor.

Beliau berkata sepanjang operasi itu, polis merampas 40.45 kilogram (kg) serbuk dadah disyaki ekstasi, pil yaba (34.23 kg), efedrina (24.6 kg) dan pil ekstasi (10.7 kg) dan syabu seberat 740.7 gram.

“Turut dirampas satu pucuk pistol ‘Colt Automatic’ dan satu kelopak pistol berisi sembilan butir peluru 9 mm,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ramli berkata sindiket gabungan warga tempatan dan warga Thailand itu dipercayai aktif sejak 10 bulan lepas dan mempunyai rangkaian di beberapa buah negeri.

“Pasaran dadah sindiket ini luas, meliputi (pasaran) tempatan dan ada juga dadah yang mereka eksport ke luar negara khusus(nya) di negara jiran. Ini kerana dadah boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi di negara jiran,” katanya.

Ditanya mengenai sumber yang membekalkan bahan memproses dadah kepada sindiket itu, Ramli berkata hasil siasatan mendapati mereka memperoleh bekalan bahan kimia terbabit dari luar negara.

“Polis akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.