Dua buah hotel di Rivers, Nigeria telah dirobohkan pihak berkuasa kerana didakwa melanggar peraturan perintah berkurung (lockdown) yang dikuatkuasakan.
Gabenor negeri, Nyesom Wike berkata, pengendali bagi kedua-dua hotel berkenaan; Edemete Hotel dan Prodest Home bertindak degil meneruskan operasinya walaupun sudah diarahkan untuk ditutup.
“Beberapa individu yang disahkan positif COVID-19 telah dikenal pasti berada di beberapa buah hotel di negeri ini,” katanya, memetik laporan BBC.
Bagaimanapun, tambah Nyesom, beliau tidak menyatakan jika ada individu positif virus yang pernah berada di kedua-dua hotel yang diruntuhkan tersebut.

“Kami menolak untuk bayar rasuah”
Dalam pada itu, pengurus bagi kedua-dua hotel itu telah ditahan pihak berkuasa.
Namun, pemilik Prodest Home, Gogorabari Promise Needam sebaliknya menafikan dakwaan yang hotel tersebut beroperasi.
“Hotel itu sudah tidak beroperasi dan 70 peratus stafnya telah dihantar pulang.
“Hanya tiga orang sahaja yang ada di sana.
“Pegawai pihak berkuasa telah datang ke sini untuk meminta rasuah, mereka berkata mereka akan membiarkan kami terus beroperasi sekiranya kami memberi mereka duit (rasuah).
“Tapi kami berkata, kami tidak beroperasi dan tiada duit untuk diberi,” dakwa pemilik tersebut.
Bagaimanapun, pihak kerajaan negeri Rivers menafikan tuduhan tersebut.

Arahan lockdown yang terlalu ketat
Kerajaan negeri mendakwa Nyesom telah menandatangani perintah eksekutif yang membenarkannya berkuasa untuk menguatkuasakan perintah lockdown.
Sementara itu, negeri tersebut pernah dikritik atas sebab pelaksanaan lockdown yang terlalu ketat sehingga mengarahkan pasar dan kedai makan turut terpaksa ditutup.
Dalam masa sama, doktor, ahli farmasi dan pekerja ‘servis yang diperlukan’ (essential service) yang lain turut melaporkan bahawa mereka telah ditekan.
Malah, ada sesetengah daripadanya ditahan kerana didakwa melanggar perintah.
Pihak kerajaan negeri juga dikatakan membuat sekatan jalan raya di lebuhraya utama dalam usaha mengekang segala pergerakan dalam negeri.
Selain itu, pihak berkuasa juga merancang untuk melelong mana-mana kenderaan yang ditahan kerana ingkar lockdown, sebaliknya hanya mereka yang mempunyai pas khas yang dikeluarkan secara peribadi oleh gabenor sahaja diberi pelepasan.

Salah guna jawatan
Bagaimanapun, seorang peguam, Ahmed Abbas menjelaskan, perintah eksekutif berkenaan tidak boleh memberi kuasa kepada gabenor untuk meruntuhkan bangunan hotel itu.
“Perintah eksekutif yang dibuat oleh presiden atau gabenor tidak boleh melampaui perlembagaan.
“Apa yang seharusnya Nyesom lakukan adalah menahan pemilik hotel berkenaan, hadapkan mereka ke mahkamah dan mahkamah akan mendakwa mereka,” katanya kepada pemberita BBC.
Jelas Ahmed, beliau berpendapat bahawa tindakan gabenor yang meruntuhkan hotel tersebut adalah ‘kecuaian eksekutif dan penyalahgunaan jawatan’.
BBC juga turut dimaklumkan oleh pakar undang-undang bahawa kes tindakan gabenor Rivers itu akan dibicarakan di mahkamah.

Nigeria mencatatkan lebih 4,300 kes positif COVID-19 dan dua kematian setakat ini, serta 15 kes daripadanya adalah kes aktif di Rivers.
Perintah lockdown berkenaan telah mula berkuatkuasa di ibu negeri, Port Harcourt pada Khamis lalu.
Sumber: BBC