Siakap Keli

Polis Tahan Remaja Perempuan Disyaki Campak Bayi Baru Lahir

GEORGE TOWN, 13 Mei  — Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai mencampak bayi yang baru lahir dari sebuah unit kediaman di tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata penahanan remaja perempuan itu dibuat selepas polis melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah susulan penemuan seorang bayi perempuan baru lahir yang masih hidup di dalam sebuah beg di belakang flat berkenaan.

“Dalam kejadian 8 pagi tadi, seorang penghuni yang tinggal di tingkat bawah flat terdengar bunyi dentuman benda jatuh ke atas sengkuap balkoni rumahnya sebelum jatuh ke bawah, menyebabkan dia keluar untuk melihat apa yang berlaku dan menemui bayi berkenaan,” katanya di sini.

Katanya individu itu kemudian menghubungi polis dan sepasukan anggota bersama pasukan perubatan digegaskan ke lokasi dan pemeriksaan ke atas bayi tersebut menemukan kecederaan pada bahagian kepalanya.

Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan polis melancarkan pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum menahan remaja terbabit yang tinggal bersama keluarganya selepas dia didapati dalam keadaan mencurigakan, kata Anbalagan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengaku melahirkan bayi berkenaan pada 7 pagi di dalam bilik air dan bertindak mencampak bayi tersebut dari balkoni rumah kerana tidak mahu kejadian diketahui keluarganya.

“Semasa kejadian kedua ibu bapanya tiada di rumah kerana berada di Kelantan dan hanya terdapat dua adik-beradik remaja tersebut sahaja, namun mereka tidak menyedari kejadian itu malah ahli keluarganya juga tidak mengetahui dia mengandung,” katanya.

Menurutnya polis kini menjejaki remaja lelaki berusia 18 tahun, dipercayai teman lelaki remaja perempuan tersebut dan bapa kepada bayi berkenaan.

Kes disiasat menurut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

Sumber: BERNAMA