Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Tindakan Tegas Terhadap Pasar Raya Jual Mahal Penutup Mulut & Hidung – Nanta

MELAKA, 13 Mei — Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pasar raya yang didapati cuba mengambil kesempatan terhadap orang ramai dengan memaksa mereka membeli penutup mulut dan hidung pada harga yang tinggi sebelum memasuki premis mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata semua pasar raya diingatkan agar mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi penutup hidung dan mulut tiga lapisan iaitu pada harga RM1.50 seunit.

“Orang ramai perlu buat aduan jika ada pasar raya yang bertindak sedemikian. Kita akan jalankan siasatan dan kalau benar perkara itu berlaku, ada pasar raya yang melanggari undang-undang itu, kami boleh ambil tindakan terhadap pasar raya terbabit,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang MAMEE-Double Decker (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Satu portal berita hari ini melaporkan pengurusan sebuah gedung pakaian terkenal di Kelantan didapati mengenakan syarat semua pengunjung memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di dalam premisnya mengambil kesempatan menjual barangan itu dengan harga RM10 untuk lima keping atau RM2 sekeping.

Sementara itu, Nanta berkata mi segera menjadi laris sepanjang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas sehingga semalam.

“Pada 18 Mac lalu, kadar keberadaan mi segera di pasaran adalah 63.16 peratus dan kadar keberadaan makanan itu meningkat sangat stabil kepada 98.10 peratus pada semalam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut beliau Skim Kawalan Harga Musim Perayaan terhadap 11 jenis barangan sempena perayaan utama yang bakal menjelang iaitu Hari Raya Aidil Fitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai akan dilaksanakan selama tujuh hari dan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata sejak 18 Mac sehingga semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 53,349 pemeriksaan dan pemantauan premis perniagaan bekalan dan harga membabitkan 1,427 pengilang, 11,453 pemborong dan 40,469 peruncit .

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd