Siakap Keli

388,897 Bakul Makanan Diagihkan

PUTRAJAYA, 14 Mei  — Sejumlah 388,897 bakul makanan telah diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 18 Mac sehingga semalam yang memberi manfaat kepada 1.56 juta orang di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 335,600 diagihkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 42,059 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala 11,238 bakul makanan lagi diagihkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Pengagihan bakul makanan akan turut diteruskan,” katanya mengenai pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lepas bahawa PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini mengenai status penyerahan bakul makanan, Rina berkata purata permintaan di setiap daerah adalah antara 50 dan 100 bakul makanan bergantung kepada luas daerah atau jumlah penduduk miskin.

“Kita terima permohonan daripada pelbagai pihak antaranya pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pihak sekolah yang begitu prihatin yang mempunyai data mengenai murid mereka yang yang datang daripada keluarga miskin dan memerlukan,” katanya.

Rina berkata isi rumah yang telah menerima bakul makanan juga boleh memohon bantuan tambahan mengikut kelayakan, memandangkan tempoh pelaksanaan PKP dan PKPB yang agak panjang.

“Mungkin bakul makanan pertama yang mereka terima sudah habis. Memang ada kes yang kita bantu juga mereka yang benar-benar memerlukan kerana bantuan itu mungkin mencukupi untuk tempoh dua minggu dan sebagainya,” katanya.

Mengenai isu kelewatan dalam pengagihan bakul makanan, Rina berkata pada peringkat awal ia berlaku disebabkan prosedur bagi menyemak kelayakan penerima, namun ketika ini proses itu telah diselaraskan dan ditambah baik.

“Kita juga mahu mengelakkan pertindihan dengan agensi lain seperti pusat zakat negeri yang turut membantu. Apabila kita telah pastikan mereka layak dan benar-benar memerlukan bantuan, barulah kita agihkan,” katanya, sambil menambah rujukan turut dibuat dengan pihak NGO dan pemimpin tempatan.

Rina berkata sebarang aduan mengenai golongan yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh dibuat kepada 108 pejabat JKM daerah di seluruh negara atau menerusi Talian Kasih 15999.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.