Siakap Keli

51,208 Pekerja Asing Sektor Pembinaan Dan Perkilangan Di Pulau Pinang Akan Disaring

GEORGE TOWN, 14 Mei — Seramai 51,208 pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan di negeri ini perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pekerja terlibat mula disaring hari ini dan pihaknya menjangkakan jumlah itu akan meningkat.

“Langkah ini adalah keutamaan kerajaan negeri demi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat dan penduduk Pulau Pinang, tiada diskriminasi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

Beliau berkata semua pekerja asing yang dikehendaki menjalani ujian saringan itu perlu hadir ke Padang Polo dekat Jalan Sepoy Lines, di sini yang dibuka selama sebulan memandangkan kawasan itu mempunyai keluasan yang mampu menampung kehadiran orang ramai dalam satu-satu masa.

“Di sebelah pulau (di bawah rancangan MBPP), sebanyak 109 tapak pembinaan melibatkan 6,780 pekerja asing, manakala pekerja asing di sektor perkilangan adalah seramai 11,772 orang.

Pekerja di tapak pembinaan di kawasan Seberang Perai pula adalah seramai 7,656 orang melibatkan 127 tapak manakala pekerja di sektor perkilangan 25,000 orang menjadikan jumlah keseluruhan pekerja asing di negeri ini dalam sektor pembinaan dan perkilangan adalah 51,208 orang dan tapak pembinaan sebanyak 236 tapak,” katanya.

Beliau berkata antara pihak yang terlibat dalam melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing ialah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pulau Pinang, Penang Master Builders & Building Materials Dealers Association (PMBBMDA), BP Healthcare dan pasukan polis di samping MBPP bertindak sebagai pihak yang akan memudahkan proses ujian saringan itu.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt AA Anbalagan.

Sementara itu, Yew berkata pihak majikan yang ingin melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing mereka boleh menghubungi MBPP dan sekretariat PMBBMDA untuk maklumat lanjut.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd