Orang awam diseru supaya tidak mensia-siakan kebebasan yang diberikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kebebasan yang diberikan kepada rakyat adalah perlu diambil dengan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan diri, keluarga dan masyarakat sekitar.
“Sebab itulah saya katakan bahawa pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat penting sekali.
“Keadaan terkini mungkin boleh berubah, esok lusa mungkin boleh berubah.
“Jadi kalau ingin kekal seperti ini, kita perlulah mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam Sidang Media Harian PKP, hari ini.
Ismail berpesan sedemikian selepas memberi contoh situasi perintah berkurung 24 jam selama lima hari yang dikuatkuasakan di Arab Saudi menjelang hari raya nanti.
Bagaimanapun, Ismail menambah, rakyat juga diseru untuk bersedia sekiranya keadaan berubah dan berkemungkinan PKP bakal dilaksanakan semula.
“Kita kena juga bersedia, jika situasi berubah, jika data menunjukkan kenaikan (jangkitan) mendadak dan sebagainya, kemungkinan PKPB tidak boleh diteruskan dan PKP akan dikenakan semula.
“Oleh itu, segala kebebasan yang sedang kita nikmati mungkin akan ditamatkan.
“Tepuk dada, tanya selera. Keputusan ada di tangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” jelasnya lagi.
Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit 17.15.
Sidang media perkembangan PKPB | 14 Mei 2020
[LANGSUNG] – Sidang media perkembangan terkini berkenaan PKPB oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 14 Mei 2020
Posted by Bernama TV on Wednesday, 13 May 2020
Sumber: BERNAMA TV