Siakap Keli

Masjid, Surau Dan Musala Di Kelantan Kekal Ditutup Kepada Umum – YDP MAIK

KOTA BHARU, 14 Mei – Semua masjid, surau dan musala di Kelantan kekal ditutup sementara waktu kepada orang awam untuk semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat sunat tarawih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata dalam tempoh berkenaan hanya pegawai masjid sahaja dibenarkan hadir untuk melaungkan azan, solat Jumaat di masjid, solat fardu lima waktu dan solat sunat tarawih.

Beliau berkata pelaksanaan ini berkuat kuasa mulai semalam sehingga satu kenyataan rasmi baru dikeluarkan oleh MAIK.

“Pegawai masjid yang hadir hendaklah melepasi saringan pemeriksaan kesihatan di pejabat kesihatan daerah terdekat.

“Pegawai masjid yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema adalah tidak dibenarkan hadir,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini dilaporkan berkata solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok,  dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Selain Wilayah Persekutuan, kebenaran itu turut melibatkan negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang Ketua Agama Islamnya ialah Yang di-Pertuan Agong.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang