KUCHING, 14 Mei – Kerajaan Sarawak mempunyai Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang berdasarkan undang-undang negeri serta keputusan mahkamah dalam urusan minyak dan gas serta cukai jualan terhadap produk petroleum, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, justeru apa yang dibincangkan antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah satu perbincangan dan bukannya perjanjian.
“Ia bukannya perjanjian, ia hanya persefahaman. Akta Pembangunan Petroleum 74 (PDA) adalah untuk seluruh negara, kita (Sarawak) mempunyai OMO, yang berdasarkan undang-undang negeri, berdasarkan keputusan mahkamah.
“Sarawak berpandukan OMO, ada perjanjian baharu yang sedang dirundingkan, apa-apa pun keputusan daripada perundingan itu perlu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sumbangsih Raya-Gawai 2020 kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan dalam menghadapi cabaran memerangi COVID-19.
“Ia (COVID-19) adalah musuh yang tidak dapat dilihat, justeru kerajaan meminta rakyat terus berjaga-jaga, walaupun statistik kes positif di Sarawak menunjukkan pengurangan, dengan mengambil pelbagai langkah keselamatan dan kesihatan yang sepatutnya.
“Kita juga doakan agar pakar perubatan dapat menemui vaksin COVID-19, banyak negara sedang berusaha untuk menghasilakn vaksin dan ia mengambil masa untuk ujian klinikal sehingga berjaya terhasil,” katanya.
Sejumlah 10,500 kotak sumbangan kuih-muih akan diagihkan kepada petugas daripada 23 agensi barisan hadapan, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sumber: BERNAMA